EKONOMI > BERITA

SHELL MALAYSIA, PROGRESSTURE POWER BEKERJASAMA PASANG SOLAR DI 600 STESEN

04/11/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Shell Malaysia Ltd dan Progressture Power Sdn Bhd menjalin kerjasama bagi pemasangan solar berkapasiti sehingga 20 megawatt puncak (MWp) di bumbung lebih 600 stesen runcit di seluruh negara ini.

Inisiatif itu mengukuhkan lagi komitmen Shell untuk memperkasa perjalanan harian rakyat Malaysia berasaskan tenaga hijau dan mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Shell Malaysia turut menggariskan perancangannya menjadi sebahagian daripada strategi ‘Powering Progress’ yang menyasarkan pengurangan pelepasan Skop 1 dan 2 sehingga 50 peratus menjelang 2030 dengan menjadikan 2016 sebagai tahun asas.

Syarikat itu menjangkakan pemasangan itu dapat menjana tenaga bersih sehingga 25,550 megawatt-jam (MWh) setahun yang mencukupi bagi menampung penggunaan sehingga 7,392 isi rumah.

Pengurus Besar Mobiliti Shell Malaysia dan Singapura Seow Lee Ming berkata komitmen itu turut memacu syarikat berkenaan menjadi sebuah perniagaan tenaga dengan pelepasan sifar bersih menjelang 2050, sekali gus menyuntik nilai kepada pemegang saham, pelanggan serta masyarakat.

“Matlamat kami adalah agar semua stesen runcit Shell di serata Malaysia mendapat penjanaan tenaga matahari menjelang akhir 2025.

“Projek ini yang melangkaui sasaran kemampanan Shell, membolehkan pengguna terbabit secara aktif dalam peralihan tenaga hijau Malaysia,” katanya.

Sentimen sama turut dikongsi oleh Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Progressture Solar Ng Yew Weng yang menyifatkan kerjasama itu memaparkan kepentingan tenaga hijau dalam usaha penyahkarbonan sektor tenaga.

“Kami mengukuhkan lagi piawaian penyahkarbonan industri ini menerusi langkah melaras kekuatan dan komitmen terhadap pelepasan sifar bersih 2050,” katanya.

Transformasi berkenaan turut menyokong aspirasi Malaysia dalam mencapai sasaran iklim, termasuk pengurangan karbon sehingga 45 peratus bagi keluaran dalam negara kasar menjelang 2030 berbanding paras pada 2005.

Shell juga berharap kerjasama itu akan mempercepat peralihannya kepada tenaga bersih selain menyumbang kepada sasaran pengurangan pelepasan karbon di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan