EKONOMI > BERITA

MIDF SASAR SEDIA INISIATIF PEMBIAYAAN SEDIA MASA DEPAN RM200 JUTA UNTUK PKS

04/11/2024 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) mahu menyediakan RM200 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif Pembiayaan Sedia Masa Hadapan (FRF) yang baru dilancarkan. 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa berkata pembiayaan ini akan membantu 100 PKS termasuk mewujudkan lebih 500 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan menjelang 2027. 

“Sebenarnya untuk pembiayaan ini, kami tidak menyediakan sebarang peruntukan baharu tapi kami menggunakan dana sedia ada daripada kerajaan.

“Kami menyasarkan RM200 juta akan dapat dicapai sebelum 2027,” katanya kepada media selepas pelancaran FRF oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong. 

FRF, yang diterajui oleh MIDF dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corp (MTDC), SIRIM Bhd termasuk penyedia penyelesaian teknologi utama, bertujuan untuk menyokong PKS dalam mengguna pakai teknologi automasi dan Industri 4.0 (IR4.0).

Liew menjelaskan FRF adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, ia menyediakan laluan bagi PKS untuk beralih kepada industri berasaskan teknologi serta kebergantungan terhadap buruh asing tidak mahir.

“Program ini menawarkan produk kewangan bersasar, khidmat nasihat pakar termasuk penyelesaian teknologi termaju untuk memacu automasi, meningkatkan kecekapan operasi dan, yang penting, meminimumkan pergantungan kepada buruh asing tidak mahir,” katanya dalam ucapannya.

MTDC dan SIRIM memainkan peranan penting dalam program ini dengan menilai kesediaan teknologi, memadankan PKS dengan penyedia penyelesaian yang betul dan mencadangkan PKS yang layak bagi pembiayaan MIDF. 

“Pendekatan holistik ini melengkapkan PKS bukan sahaja dengan sumber kewangan tetapi juga dengan kepakaran yang diperlukan untuk penyepaduan teknologi pintar, meletakkan mereka ke arah pertumbuhan yang mampan,” kata Liew lagi.

“Dengan bekerjasama rapat dengan PKS, penyedia penyelesaian akan memudahkan penyepaduan teknologi automasi dan pendigitalan, meningkatkan produktiviti serta kecekapan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan,” katanya. 

Liew melahirkan keyakinan bahawa PKS akan mengguna pakai teknologi IR4.0, memanfaatkan analisis data masa nyata, melibatkan diri dalam pembuatan ketepatan dan mewujudkan sistem kilang pintar melalui program itu.

Beliau ketika mengulas mengenai buruh asing berkata kerajaan komited untuk membentuk semula pasaran buruh dengan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing yang tidak mahir.

“Terdapat keperluan untuk menjadikan pengambilan pekerja asing menjadi mahal melalui pengenaan levi pelbagai peringkat, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kepada pekerja asing dan gaji minimum yang lebih tinggi.

“Dengan menjadikan kos pengambilan buruh asing tidak mahir lebih mahal, ini akan memberi alasan kewangan untuk pihak industri mengguna pakai lebih banyak teknologi, mengurangkan permintaan buruh selain melabur dalam gaji yang lebih baik bagi pekerja mahir, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada pekerja Malaysia," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan