KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia yang terus terbuka mengalu-alukan kerjasama strategik dan lebih banyak pelaburan dalam teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan dan sektor berkemahiran tinggi dengan China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi ciapan di laman X hari ini, beliau berkata Malaysia juga mahu meningkatkan hubungan perdagangan terutamanya membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran serta penyelidikan dan pembangunan dengan negara tersebut.
Anwar, yang kini dalam lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November ini, telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Li Qiang dan kedua-dua pemimpin itu menggunakan kesempatan ini untuk memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-China yang kini mencecah usia 50 tahun.
Perdana Menteri turut mengulangi pendirian Malaysia yang menerima baik prinsip perkongsian masa hadapan yang diutarakan oleh Presiden Xi Jinping sebelum ini, yang menekankan soal perkongsian kemakmuran untuk manfaat setiap individu dan negara.
Beliau berkata prinsip ini menjadi antara asas penting untuk Malaysia memilih menyertai pakatan BRICS.
“Dalam soal ini, saya menzahirkan penghargaan tertinggi atas sokongan China terhadap penyertaan Malaysia sebagai negara rakan BRICS,” kata Anwar.
Beliau juga berkata bahawa Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutamanya dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia punyai ruang belajar daripada kejayaan China dalam lingkungan ini menerusi kerjasama dengan Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA) dan Pusat Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa China (IPRCC).
“Usai pertemuan ini, saya dan Premier Li menyaksikan pertukaran dokumen Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan China Media Group (CMG).
“Alhamdulillah, pertemuan ini telah mempererat hubungan peribadi antara saya dan Premier Li, serta memperkukuh persahabatan Malaysia-China yang pastinya akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara, insya-Allah,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial