EKONOMI > BERITA

SME CORP, PERNAS METERAI MOU DENGAN MONSHA'AT, PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK

06/11/2024 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- SME Corp Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Umum bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana Arab Saudi (Monsha’at) di Forum Biban24 di Riyadh, Arab Saudi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata menerusi MoU itu, diharapkan dapat memperkukuh kerjasama strategik SME Corp dan PERNAS dalam sektor tumpuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan francais dengan agensi PKS di Timur Tengah.

“Saya dan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Al-Kassabiah menyaksikan pemeteraian MoU antara SME Corp dan PERNAS dengan Monsha’at. 

“Semoga kerjasama yang lebih kukuh dapat dibangunkan di antara kedua-dua agensi kementerian ini serta di antara kedua-dua kerajaan dan juga sesama perusahaan dari kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ewon bersama delegasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan lawatan kerja selama dua hari di Riyadh, Arab Saudi, bermula semalam.

Dalam lawatannya, Ewon turut menyempurnakan pembukaan Pavilion Malaysia sempena Forum Biban24 anjuran Monsha’at yang berlangsung dari 5 hingga 9 Nov di Pusat Pameran dan Konvensyen Riyadh Front.

 Menurutnya, sebanyak 30 syarikat PKS, francais dan koperasi dari Malaysia menyertai pavilion tersebut dan peserta terdiri daripada usahawan yang dibangunkan agensi KUSKOP iaitu SME Bank, SME Corp, PERNAS, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Persatuan Francais Malaysia.

“Ini adalah peluang terbesar untuk usahawan dan syarikat francais Malaysia menyertai pameran perniagaan PKS terbesar di Arab Saudi seterusnya merebut peluang meluaskan pasaran atau mengeksport produk mereka ke Timur Tengah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan