BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 EKONOMI > BERITA

HASIL SEKTOR PERKHIDMATAN MENINGKAT RM618.5 BILION PADA SUKU KETIGA, MELONJAK 5.9 PERATUS - PERANGKAAN

07/11/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Hasil sektor perkhidmatan di Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2024, mencecah RM618.5 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan kukuh itu dipacu oleh sektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, serta penginapan, yang secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan 5.1 peratus tahun ke tahun.

"Pertumbuhan ini mencerminkan peningkatan jumlah pelancong antarabangsa dan domestik yang seterusnya mendorong kepada perbelanjaan pengguna dan meningkatkan permintaan dalam industri penting ini serta mengukuhkan peranan utama sektor pelancongan dalam menyokong prestasi sektor tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata segmen profesional, hartanah dan perkhidmatan pentadbiran dan sokongan juga menyumbang dengan ketara, mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 11.2 peratus tahun ke tahun dengan hasil yang direkodkan sebanyak RM40.7 bilion.

Menyokong kepada pertumbuhan ini, aktiviti berkaitan hartanah menunjukkan momentum yang ketara dengan pinjaman yang dikeluarkan untuk tujuan perumahan meningkat sebanyak 7.7 peratus tahun ke tahun, manakala nilai kerja yang dilaksanakan dalam pembinaan perumahan meningkat sebanyak 27.8 peratus.  

Segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan merekodkan 6.1 peratus kenaikan, dipacu oleh pertumbuhan yang ketara sebanyak 14.1 peratus oleh trafik penumpang udara.

Sementara itu, segmen penjagaan kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi, serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 12.2 peratus, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan peribadi dan rekreasi.

Bagi analisis perbandingan suku tahunan, jumlah hasil untuk sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 1.9 peratus berbanding suku kedua 2024, disumbang terutamanya oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, dan penginapan, menyumbang kepada peningkatan hasil sebanyak RM8.1 bilion.

Pendapatan e-dagang bagi suku tahun ini mencecah RM300.5 bilion, mencerminkan peningkatan 3.8 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh kenaikan 4.3 peratus dalam sektor pembuatan.

Mohd Uzir berkata jumlah pekerja dalam sektor ini adalah seramai 4.5 juta orang, meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun, sementara itu, jumlah gaji dan upah meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun untuk merekodkan nilai sebanyak RM33.0 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan