BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 EKONOMI > BERITA

LAWATAN PM KE CHINA JANA POTENSI EKSPORT BERNILAI RM3.2 BILION – TENGKU ZAFRUL

07/11/2024 08:32 PM

BEIJING, 7 Nov (Bernama) -- Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China yang berakhir hari ini, berjaya menjana potensi eksport bernilai RM3.2 bilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Beliau berkata ini dicapai dalam pertemuan bersama 24 buah syarikat mewakili pelbagai sektor, termasuk semikonduktor, aeroangksa space, kenderaan elektrik, automotif serta peranti perubatan yang menyertai sidang meja bulat pada Khamis, bersempena lawatan itu.

“Sesi itu turut disertai syarikat dalam sektor perdagangan, terutama dalam sektor produk-produk kimia, pertanian dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media di akhir lawatan kerja Perdana Menteri yang bermula pada 4 November lepas.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, turut mengadakan mesyuarat perniagaan bersama China International Capital Corp (CICC), sebuah syarikat pengurusan pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional milik negara itu.

Selain Tengku Zafrul, Perdana Menteri turut diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Ini merupakan kunjungan ketiga Anwar ke China sebagai Perdana Menteri selepas lawatan pertama pada Mac 2023 dan berikutnya pada September tahun yang sama.

Mengulas selanjutnya Tengku Zafrul turut berkata Malaysia telah meraih sejumlah pelaburan dari China dan angka sebenar akan diumumkan kelak.

“Kita tiada angka (tepat) yang boleh diumumkan (sekarang), cuma banyak projek yang sudah di tahap akhir manakala ada yang di peringkat perbincangan.

“Secara umumnya, ini menunjukkan peningkatan pada tahun ini dan kita akan umumkannya dalam masa terdekat,” katanya.

China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

Pada 2023, nilai dagangan dengan China mencecah RM450.84 bilion (US$98.80 bilion) yang menyumbang 17.1 peratus perdagangan Malaysia di peringkat global dan setakat September 2024, nilai dagangan itu mencecah RM355.15 bilion (US$76.72 bilion).

Selain itu, pada separuh pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan dilaksanakan dengan pelaburan bernilai RM1.2 bilion (US$252.5 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan