EKONOMI > BERITA

DASAR, IKLIM PELABURAN MENARIK PIKAT SYARIKAT CHINA KE MALAYSIA -- CECCM

11/11/2024 11:43 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Persekitaran perniagaan Malaysia yang mengalu-alukan dengan dasar serta iklim yang menyokong perniagaan asing adalah antara faktor utama yang menarik syarikat China untuk menubuhkan operasi di negara ini, menurut Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CECCM).

Presiden CECCM Ni Qingjiu menekankan ketika kedua-dua negara meraikan hubungan diplomatik selama 50 tahun pada tahun ini, organisasi itu telah melihat banyak peluang untuk syarikat ahlinya berkembang di Malaysia.

“Perkongsian yang mantap ini telah membawa kepada kerjasama yang lebih erat dalam industri utama seperti pembinaan, teknologi dan tenaga mampan.

“Melangkah ke hadapan, saya melihat beberapa bidang yang menjanjikan, yang membolehkan perniagaan China serta Malaysia bekerjasama, terutamanya di sekitar teknologi baharu dan kemampanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini sempena Sidang Kemuncak Malaysia-China (MCS) 2024 yang akan datang.

Acara tersebut akan dianjurkan mulai 17 hingga 19 Dis depan, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia.

Ni berkata CECCM memainkan peranan penting dalam membimbing 348 syarikat ahlinya melalui peraturan tempatan termasuk membantu mereka berhubung dengan industri Malaysia.

“CECCM secara aktif terlibat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mencari penyelesaian, dan sokongan seperti ini memudahkan mereka beroperasi dengan lancar selain membina kepercayaan dalam komuniti perniagaan setempat,” katanya.

 

Perkongsian ketara Malaysia-China

Ni memetik beberapa perkongsian penting antara firma Malaysia dan China termasuk kerjasama antara Geely China serta Proton Malaysia yang telah membawa masuk pelaburan dan teknologi baharu sehingga berjaya membantu pengeluar kereta nasional itu memasuki semula pasaran serantau dengan model terkini.

“Perkongsian tersebut menguntungkan antara satu sama lain, ia merupakan situasi menang-menang memandangkan Geely akhirnya, bertapak di pasaran ASEAN manakala Proton memperoleh teknologi automotif termaju,” katanya lagi.

Kerjasama lain merangkumi pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sebuah projek mega di bawah Inisiatif Jalur dan Jalan melibatkan China Communications Construction Company (CCCC) serta Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

“Projek itu telah membawa pelaburan besar ke Malaysia termasuk mewujudkan banyak pekerjaan tempatan, dengan syarikat Malaysia menyumbang kepada pembinaan dan perkhidmatan,” kata Ni.

Beliau menambah akan ada lebih banyak peluang untuk meningkatkan kerjasama bagi syarikat di kedua-dua negara terutamanya dalam bidang seperti kenderaan elektrik (EV) termasuk infrastruktur yang berkaitan, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu, pembuatan termaju serta teknologi dipacu kecerdasan buatan dan digital.

 

Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 rangsang peningkatan kerjasama

Menurut Ni, MCS 2024 adalah platform yang akan menawarkan peluang yang diperluaskan kepada Malaysia dan China untuk mengukuhkan hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan serta budaya.

“Sidang kemuncak itu akan menjadi platform dinamik untuk perniagaan dari kedua-dua negara ke arah bekerjasama, meneroka peluang perdagangan baharu dan menerima inovasi,” katanya.

Beliau menambah MCS 2024 menyediakan peluang berharga bagi pemimpin perniagaan untuk berhubung, membentuk perkongsian dan menyokong pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

Ni akan menjadi salah seorang penceramah pada sesi panel Persidangan Kepimpinan MCS 2024, yang akan memberi tumpuan kepada projek pembangunan penting di Malaysia yang melibatkan syarikat dari China.

Projek-projek ini bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan di kedua-dua negara.

“Sebagai rakan kongsi strategik untuk MCS 2024, syarikat ahli CCCM akan mengambil bahagian dalam sesi panel utama yang memfokuskan kepada bidang seperti transformasi, pelaburan dan teknologi hijau.

“Secara keseluruhan, kami berhasrat untuk menyokong aspirasi Malaysia dalam pembangunan mampan serta digital, di samping mempamerkan sumbangan positif yang dilakukan oleh perusahaan China di negara ini,” tambahnya lagi.

MCS 2024 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Bertemakan 'Prosperity Beyond 50', sidang kemuncak itu mencerminkan inisiatif strategik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, kemajuan masyarakat dan kesejahteraan keseluruhan termasuk kerjasama serta sinergi yang berterusan antara Malaysia dan China.

Sekitar 500 peserta pameran dari Malaysia, China dan negara-negara ASEAN dijangka mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu, ia menarik seramai 10,000 pelawat serta delegasi perdagangan termasuk potensi perdagangan dan pelaburan bernilai RM2 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan