KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- CelcomDigi Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sedikit kepada RM436.98 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 (S3 2024) berbanding RM455.72 juta pada suku yang sama sebelumnya.
Hasil, bagaimanapun, meningkat kepada RM3.13 bilion daripada RM3.10 bilion yang dicatatkan pada S3 2024, didorong oleh pelaksanaan pasaran yang berkesan dan operasi yang cemerlang.
Bagi tempoh sembilan bulan 2024, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM1.22 bilion berbanding RM1.12 bilion pada sembilan bulan sebelumnya, manakala hasil turun sedikit kepada RM9.40 bilion daripada RM9.41 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CelcomDigi melaporkan inisiatif penyepaduan dan transformasinya yang merentas peruncitan, rangkaian dan teknologi maklumat (IT), memacu realisasi sinergi dan meningkatkan pengalaman pelanggan telah mencatatkan kejayaan yang kukuh.
"Prestasi pertumbuhan suku ketiga 2024 yang stabil didorong oleh keuntungan asas yang berdaya tahan daripada pelanggan berkualiti yang semakin meningkat," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata syarikat itu terus meningkatkan kecemerlangan pelanggan dengan menawarkan produk-produk bernilai yang terbaik secara konsisten, serta memperkaya pengalaman pelanggan melalui rangkaian yang dipertingkatkan dan model peruncitan baharu, ‘digital-everything’.
“Prestasi suku ketiga kami yang berdaya tahan adalah hasil tumpuan berterusan kami terhadap pertumbuhan yang menguntungkan dan mampan, pengurusan kos yang berdisiplin dan keupayaan kami untuk terus merealisasikan sinergi daripada penggabungan itu,” tambahnya.
CelcomDigi berkata usaha penyepaduan dan pemodenan rangkaiannya kini hampir 70 peratus siap, dengan lebih 10,500 tapak dimodenkan menjelang akhir Oktober 2024 dan lebih 65 peratus pelanggan mendapat manfaat daripada peningkatan kualiti pengalaman pada rangkaian pintar CelcomDigi baharu.
Syarikat itu menyasarkan untuk menyelesaikan peningkatan rangkaiannya sebanyak 75 peratus menjelang akhir 2024, lebih awal daripada sasarannya.
Sementara itu, kumpulan berkenaan turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 3.6 sen sesaham atau RM422 juta, tertinggi dalam tempoh empat suku terakhir yang akan dibayar pada 23 Dis, 2024.
Pada rehat tengah hari, harga saham CelcomDigi naik empat sen kepada RM3.37 sesaham dengan sejumlah 997,700 saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial