KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- EA Technique (M) Bhd (EATech) menerusi anak syarikat milik penuhnya Libra Perfex Precision Sdn Bhd (LIBRA) berjaya memperoleh tiga kontrak lanjutan daripada Petronas Floating LNG 1 (L) Ltd (PFLNG1) bernilai RM63.9 juta.
EATech mendapat kontrak lanjutan berjumlah RM41 juta bagi perkhidmatan bot tunda pada September 2024, diikuti dua kontrak lanjutan untuk perkhidmatan kapal siap sedia kecemasan bagi PFLNG1, pada Oktober 2024 yang berjumlah RM22.9 juta.
“Ketiga-tiga kontrak itu yang masing-masing adalah bagi tempoh dua tahun bermula November 2024, akan memanfaatkan kumpulan kapal sedia ada milik EATech, mengukuhkan aliran pendapatannya selain memperkasa keupayaan operasi dan perkongsiannya dengan Petronas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat penyimpanan luar pantai itu berkata, kontrak berkenaan secara dasarnya menyokong aliran pendapatan EATech, iaitu komponen utama pertumbuhan mampan syarikat.
“Komitmen bagi tempoh sederhana ini akan menyediakan hasil yang konsisten kepada syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang.
“EATech akan menggunakan semua kapal sedia ada miliknya bagi memenuhi keperluan kontrak, iaitu strategi memaksimumkan penggunaan aset untuk membuktikan komitmennya dalam memastikan kos operasi yang cekap,” katanya.
Pengarah Eksekutif EATech Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata syarikat kekal komited untuk memberikan perkhidmatan perkapalan yang boleh dipercayai, bagi memenuhi keperluan operasi pelanggan dengan cekap dan berkesan.
“Kesemua kontrak ini adalah sebahagian daripada portfolio berterusan kami yang mempamerkan nilai projek sedia ada dalam menyumbang kepada kestabilan pendapatan dan memastikan kesinambungan operasi.
“Kami teruja dengan pertumbuhan berterusan syarikat, dengan dedikasi untuk terus berkembang dan inovasi yang dicerminkan menerusi pencapaian ini,” katanya.
Setakat ini, nilai perolehan kontrak EATech berjumlah RM169.5 juta, disokong oleh kontrak pilihan berjumlah RM217.2 juta.
“Kemudahan ini menyediakan perolehan yang kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang, memastikan daya tahan kewangan syarikat dan mengekalkan nilai kepada pemegang saham,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial