EKONOMI > BERITA

PENUTUPAN PEJABAT MPOB DI LUAR NEGARA TIDAK JEJAS USAHA TANGANI KEMPEN ANTI MINYAK SAWIT

18/11/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) – Penutupan pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di luar negara tidak menjejaskan usaha menangani kempen anti minyak sawit dan persepsi negatif terhadap komoditi tersebut di pasaran antarabangsa, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata kementerian telah mengambil pendekatan strategik termasuklah memfokuskan kepada usaha promosi dan hubungan diplomatik dengan platform antarabangsa, selain menjalin kerjasama dengan rakan strategik dan organisasi bukan kerajaan untuk mempromosikan minyak sawit.

“Meskipun pejabat MPOB Brussel untuk pasaran Kesatuan Eropah ditutup sementara, masih ada pejabat Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di luar negara dan pejabat serantau untuk menangani isu berkaitan sawit,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Chan berkata penutupan pejabat MPOB adalah selari dengan usaha rasionalisasi kerajaan dalam menangani pertindihan fungsi agensi kerajaan.

Lima pejabat MPOB yang terletak di Brussel, Tehran, Kaherah, Washington DC dan Karachi telah ditutup manakala pejabat di Shanghai masih beroperasi.

“Kajian mendalam telah dilakukan terhadap keperluan operasi dan keberkesanan (pejabat agensi) dalam mempromosikan sawit dan ini adalah langkah yang telah diambil,” katanya.

Sementara itu, katanya sejumlah RM15 juta telah diperuntukkan untuk mempromosikan sawit iaitu RM5.625 juta adalah untuk kempen berkaitan maklumat kelapa sawit untuk pengguna di Eropah dan RM4.3 juta untuk urusan melobi.

Mengenai galakan terhadap penggunaan teknologi, mekanisasi dan automasi, beliau berkata kementerian mahu lebih ramai penyertaan pekerja tempatan dalam usaha untuk meremajakan sektor agrikomoditi.

“Antara insentif yang diberikan ialah pengecualian cukai melalui Elaun Modal Dipercepat (ASA).

“Seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan mahu pemain industri menerima manfaat ASA atas pelaburan aset tetap dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan seperti teknologi perladangan digital pintar, automasi, mekanisasi dan Internet of Things,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan berkenaan koko, Chan berkata industri tersebut memerlukan penglibatan syarikat perladangan yang besar bagi membawa skala ekonomi lebih besar untuk mewujudkan ekosistem yang matang.

Menerusi rekod yang dimilik kementerian, Chan berkata keluasan tanaman koko yang telah bertukar kepada komoditi lain dianggarkan berjumlah 350,000 hektar manakala keluasan terkini bagi tanaman koko adalah 6,123.07 hektar.

“Masalah utama yang dihadapi oleh komoditi ini adalah isu berkaitan ekosistem, dan bagi pihak kementerian untuk mengenal pasti faktor yang boleh membantu tanaman koko, termasuklah penglibatan syarikat besar,” katanya

Menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN- Tangga Batu) mengenai kekurangan tenaga kerja di ladang koko serta penghasilan hasil koko premium yang menurun kepada 43 kilogram sehektar berbanding 1,400 kilogram sehektar, Chan berkata kementeriannya menerusi Lembaga Koko Malaysia, turut mengambil langkah seperti menghasilkan 54 jenis klon koko komersil bagi menambah penghasilan jenis koko.

“Antara cara untuk meremajakan industri koko dan menarik minat penanaman koko ialah melalui konsep ‘Farm to Table’ yang merujuk kepada model dari biji ke coklat, sebagai contoh, antara yang menunjukkan minat ialah syarikat United Melaka Bhd dan SLDB, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah (GLC).

“Di bawah Lembaga Koko Malaysia, untuk tahun hadapan, kita akan adakan empat projek baharu. Kita telah banyak wujudkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan