EKONOMI > BERITA

PM ANWAR AMBIL BAHAGIAN DALAM ACARA BERKAITAN G20, PERTEMUAN DUA HALA

18/11/2024 05:55 PM

Daripada M. Saraswathi

RIO DE JANEIRO (Brazil), 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengambil bahagian dalam acara berkaitan G20 seperti pelancaran "Global Alliance against Hunger and Poverty” yang bertujuan membasmi kemiskinan dan kebuluran global.

Tema ini selaras dengan komitmen kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat Malaysia khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan tegar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menyampaikan pendirian Malaysia dalam dua sesi penting, iaitu sesi "Keterangkuman Sosial dan Perjuangan Membasmi Kemiskinan dan Kebuluran" dan sesi "Reformasi Institusi Tadbir Urus Global".

Kedua-dua sesi ini memberi peluang kepada Malaysia untuk menyuarakan pandangannya mengenai inisiatif bagi menangani isu-isu seperti kemiskinan, kesenjangan, dan pembaharuan sistem tadbir urus global.

Selain itu Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan pertemuan di luar sesi dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa di sini Isnin.  

Malaysia bersama 16 negara lain termasuk Chile, Qatar, Mesir, Singapura, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam, adalah negara tetamu untuk G20. Kali terakhir Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak G20 ialah pada 2015 di Turkiye, sebagai pengerusi ASEAN pada masa itu. 

G20 terdiri daripada 19 negara dan dua kesatuan yang terdiri daripada Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), dan Kesatuan Afrika (AU).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan