EKONOMI > BERITA

BRAZIL BERPOTENSI BAGI INDUSTRI SEMIKONDUKTOR MALAYSIA KURANGKAN RISIKO RANTAIAN BEKALAN - TENGKU ZAFRUL

19/11/2024 09:43 PM

Daripada M.Saraswathi

RIO DE JANEIRO (Brazil), 19 Nov (Bernama) --  Brazil, negara terbesar di Amerika Selatan, terletak dalam lokasi strategik langkah “Plus One” industri semikonduktor Malaysia bagi mengurangkan risiko terhadap daya tahan rantaian bekalan mereka.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata usaha berkenaan juga lebih daripada langkah berjaga-jaga di peringkat awal.

"Ini adalah pendekatan berfikiran ke hadapan yang akan membantu syarikat semikonduktor Malaysia, bukan sahaja dari segi mengurangkan risiko rantaian bekalan tetapi dapat meluaskan jangkauan mereka ke pasaran baharu," katanya kepada media Malaysia di sini pada Isnin. 

Beliau merupakan sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam lawatan rasmi ke Brazil.

Strategi “Plus One” merujuk kepada kepelbagaian oerasi ke negara-negara lain seperti Asia Tenggara.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata Brazil juga berpotensi menjadi lokasi bagi sebahagian besar syarikat-syarikat Malaysia yang menyasarkan pasaran Amerika Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Utara.

“Dari segi saiz, industri semikonduktor Brazil secara relatifnya kecil, tetapi amat maju dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan beberapa peralatan bagi reka bentuk IC berkenaan,” katanya.

Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor yang komprehensif dan kukuh dalam aktiviti pembuatan “back-end” dan penyumberan luar pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT).

Pada masa ini, Malaysia merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia dengan eksport melebihi US$85 bilion manakala nilai eksport semikonduktor Brazil berjumlah US$1.2 bilion (2022) dengan kelebihan reka bentuk IC yang kompetitif.

Ekosistem Malaysia turut merangkumi syarikat gergasi global seperti Intel, Infineon, Micron dan Texas Instruments serta juara tempatan seperti Carsem dan Inari yang terkenal dengan kepakaran dalam aktiviti OSAT. 

Tengku Zafrul berkata langkah mengukuhkan hubungan dengan Brazil atau rantau lain, dapat membantu Malaysia mengukuhkan peranan sebagai peneraju semikonduktor global dan memastikan industrinya terus berdaya tahan, pelbagai serta bersedia bagi cabaran masa depan.

Selain itu, mengulas mengenai impak peralihan pentadbiran di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan Donald Trump kembali memegang jawatan itu, Tengku Zafrul berkata : “Setakat ini kita tidak belum menerima sebarang maklumat. Presiden (dilantik) Trump akan mengangkat sumpah pada 20 Jan, 2025.”

Beliau berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan syarikat-syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan di seluruh dunia, terutama dalam sektor yang strategik seperti semikonduktor.

Tidak ketinggalan, perbincangan dengan AS, China dan Eropah dalam memastikan rantaian bekalan berkenaan terus kukuh.

Tengku Zafrul berkata kebimbangan yang dibangkitkan bukan dari aspek rantaian bekalan, tetapi soal tarif susulan kenyataan Trump sewaktu berkempen sebelum ini mengenai kemungkinan menaikkan tarif dalam sektor seperti semikonduktor dan sektor-sektor strategik lain.

“Walaupun belum pasti, kita kena sentiasa bersedia dan libat urus dengan syarikat-syarikat multinasional dan tempatan ini. 

“Akan ada pro dan kontra...ketegangan geopolitik yang berlaku misalnya memberi impak positif terhadap Malaysia dan negara-negara seperti China ketika negara-negara lain mengambil strategi “Plus One” ini bagi memastikan daya tahan rantaian bekalan masing-masing yang boleh dimanfaatkan oleh ASEAN dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata ini khususnya bagi sektor elektrikal dan elektronik (E&E) di Malaysia yang mendapat manfaat daripada strategi itu berikutan pengalaman lebih 50 tahun yang dimiliki negara.

“Namun, dalam jangka panjang, jika benar tarif ini dinaikkan, kerisauan kita adalah dari segi permintaan, harga menjadi mahal dan penggunaan mungkin menjadi berkurangan.

“Bagaimanapun, ini hanya jangkaan. Kita belum pasti ini akan berlaku atau tidak,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan