EKONOMI > BERITA

AKTIVITI BELIAN SOKONG PRESTASI PERDAGANGAN MALAYSIA PADA SUKU KEEMPAT 2024

20/11/2024 11:18 AM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Aktiviti belian dan kenaikan dalam industri teknologi global dijangka akan menyokong prestasi dagangan Malaysia pada suku keempat 2024 (S4 2024), kata CIMB Securities Sdn Bhd.

Firma penyelidikan itu berkata eksport Malaysia berkembang 1.6 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024 walaupun ia tidak memenuhi jangkaan pasaran apabila aktiviti perdagangan merosot menjelang akhir tahun.

Pertumbuhan import pula menyederhana kepada 2.6 peratus tahun ke tahun apabila import barangan modal susut 2.7 peratus manakala import barangan pengantara berkembang pada kadar yang lebih perlahan.

Ia berkata apabila import bulanan mengatasi eksport, lebihan dagangan Malaysia turun sebanyak 6.2 peratus bulan ke bulan kepada RM12 bilion pada Oktober 2024.

"Memandangkan aktiviti perdagangan luar yang lebih lemah daripada jangkaan baru-baru ini, kami telah menyemak semula unjuran perdagangan 2024 lebih rendah (eksport: 5.0 peratus berbanding 8.0 peratus sebelumnya; import: 12.8 peratus berbanding 18.0 peratus sebelum ini)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, CIMB Securities mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 pada 5.2 peratus memandangkan aktiviti pelaburan kekal kukuh.

"Melangkah ke depan, kami menjangkakan eksport dan import berkembang masing-masing sebanyak 5.3 peratus dan 5.6 peratus pada 2025, seiring dengan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 oleh kami sebanyak 5.0 peratus," katanya.

Ia berkata risiko penurunan berterusan termasuk potensi gangguan kepada perdagangan global disebabkan ketidaktentuan dasar selepas pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang mungkin meningkatkan tekanan inflasi dan melemahkan permintaan perdagangan global.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan