EKONOMI > BERITA

PETRONAS CHEMICALS CATAT KERUGIAN BERSIH RM789 JUTA PADA SUKU KETIGA

22/11/2024 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM789 juta pada suku ketiga berbanding keuntungan bersih RM424 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Hal ini disebabkan oleh kerugian dalam pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan sebanyak RM1.1 bilion.

Bagaimanapun, perolehan bagi suku tersebut meningkat kepada RM7.986 bilion berbanding RM6.784 bilion.

Menurut PCG dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bagi tempoh sembilan bulan, pengeluar bahan kimia bersepadu itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM656 juta dengan perolehan sebanyak RM23.213 bilion.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berasingan berkata ia mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM762 juta untuk suku tersebut yang didorong terutamanya oleh kerugian dalam pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan ke atas penilaian semula hutang di Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPC).

Selain itu, ia juga disebabkan penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPC.

"Sepanjang suku tersebut, dolar Amerika Syarikat (AS) merosot berbanding ringgit Malaysia kepada 4.107 pada 30 Sept, 2024 berbanding 4.721 pada 30 Jun 2024.

"Tidak termasuk kesan kerugian dalam pertukaran mata wang asing, keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan dianggarkan sebanyak RM352 juta," katanya.

PPC ialah syarikat usaha sama 50:50 di antara PCG dengan Saudi Aramco yang terletak di dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.

“PPC ialah syarikat mata wang fungsian dalam dolar AS dan kelemahan dolar AS baru-baru ini berbanding mata wang tempatan mengakibatkan kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasi atas penilaian semula pemiutang sebanyak RM536 juta yang direkodkan dalam PCG,” katanya.

Selain itu, PCG berkata ia menyediakan pinjaman pemegang saham dalam denominasi dolar AS kepada PPC yang turut terdedah kepada kerugian dalam pertukaran mata wang asing tidak direalisasikan sebanyak RM492 juta disebabkan oleh pergerakan pertukaran mata wang asing yang tidak menggalakkan.

"Termasuk kerugian dalam pertukaran mata wang asing daripada operasi lain sebanyak RM86 juta, jumlah kerugian dalam pertukaran mata wang asing sepanjang suku ketiga adalah RM1.1 bilion," katanya.

Secara keseluruhan untuk sembilan bulan, kumpulan itu berkata perolehan meningkat lapan peratus tahun ke tahun kepada RM23.2 bilion berbanding 2023, terutamanya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi termasuk sumbangan daripada PPC.

Namun, tambah PCG, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menurun sebanyak 10 peratus tahun ke tahun kepada RM2.8 bilion disebabkan oleh pendapatan negatif yang dicatatkan oleh PPC akibat kerugian dalam pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan ke atas penilaian semula hutang serta kos operasi yang lebih tinggi.

Ia berkata keuntungan selepas cukai (PAT) menyusut 53 peratus tahun ke tahun kepada RM750 juta dan tidak termasuk kesan kerugian pertukaran mata wang asing, PAT kumpulan dianggarkan sebanyak RM1.7 bilion.

Kumpulan itu berkata sepanjang suku ketiga, pasaran bahan kimia komoditi secara amnya bercampur-campur atas faktor seperti inflasi yang berterusan, peralihan bekalan-permintaan bermusim serta pergerakan bahan mentah.

"Ketegangan bekalan menyokong harga urea dan mono-ethylene glycols manakala permintaan hiliran yang lemah memberi tekanan menurun terhadap harga metanol dan poliolefin.

"Industri terus berdepan dengan kesan pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan daripada jangkaan dan kelemahan dalam pemacu permintaan utama menyebabkan harga dan spread (perbezaan harga bida dan permintaan) berada di bawah tekanan," kata PCG.

Mengulas mengenai prestasi PCG, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya Mazuin Ismail berkata prestasi kewangan kumpulan untuk suku tersebut terjejas teruk akibat pergerakan negatif dolar AS berbanding ringgit terutamanya daripada pelaburan kumpulan dalam PPC.

"Secara operasi, prestasi perniagaan teras kami meningkat pada suku ketiga apabila kami mencatatkan penggunaan loji yang lebih tinggi untuk operasi kami di Malaysia sekali gus menyumbang kepada jumlah jualan yang lebih tinggi.

"Kami menyelesaikan semua ujian prestasi di unit petrokimia kami di PPC dan kini sedang bersedia untuk operasi komersial yang disasarkan akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata ini akan menjadi pencapaian penting bagi kumpulan dalam melaksanakan sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk mengukuhkan perniagaan bahan kimia asas selain secara selektif mempelbagaikan kepada bahan kimia derivatif dan khusus.

Selain itu, molekul yang tersedia daripada rantaian berasaskan nafta akan membolehkan mereka memperluaskan tawaran di luar portfolio semasa termasuk untuk bergerak lebih jauh ke hiliran bagi produk yang lebih khusus dan inovatif.

"Namun, dapat dijangkakan permulaan operasi berinsentif modal berskala besar ini akan memberi kesan yang ketara kepada pendapatan kumpulan termasuk kesan penukaran mata wang yang kami saksikan sepanjang suku ini.

"Jika dolar AS terus mengukuh pada suku keempat 2024, kami akan melihat pembalikan sebahagian daripada kerugian pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan," kata PCG.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan