KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- BMW Group Malaysia kini sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan dan rakan kongsi tempatan dalam rancangannya untuk memasang unit kenderaan elektrik (EV) di Malaysia seiring dengan pengecualian cukai untuk pemilik EV sehingga akhir 2025.
Bagaimanapun, Naib Presiden Kanan Jualan BMW Group bagi Asia Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika, Jean-Philippe Parain berkata rancangan itu memerlukan perancangan jangka panjang untuk proses peralihannya.
“Berdasarkan pengalaman saya dengan BMW yang menjalankan perniagaan di beberapa negara, apabila kerajaan mengurangkan subsidi, pilihan EV turut dikurangkan.
“Sebagai contoh...Korea Selatan, sebaik sejurus subsidi dikurangkan di negara itu, bilangan orang memilih EV juga menurun dan keadaan itu juga boleh dilihat di Eropah,” katanya pada sidang media pada Sesi Perbincangan Meja Bulat Media Strategi Jenama BMW Group Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Urusannya Benjamin Nagel berkata syarikat itu kini bekerjasama dengan entiti kerajaan dan rakan kongsi tempatan untuk membincangkan kitar semula bateri EV.
Selain itu, BMW Group Malaysia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata syarikat itu telah menjual lebih 8,700 kenderaan pada suku ketiga tahun ini.
Jumlah itu termasuk lebih daripada 1,600 model elektrik sepenuhnya, membentuk lebih 19 peratus daripada jumlah penghantaran, katanya.
Di peringkat global, Kumpulan BMW juga telah mencatatkan pertumbuhan luar biasa dalam segmen kenderaan elektriknya walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
“Antara Januari dan September 2024, syarikat itu menyaksikan peningkatan 19.1 peratus dalam jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) dengan lebih 300,000 unit dihantar kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial