EKONOMI > BERITA

JUALAN MATRADE DI MIHAS@DUBAI CECAH RM2.2 BILION, LANGKAUI SASARAN 120 PERATUS

20/11/2024 10:05 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

DUBAI, 20 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah memuktamadkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai dengan kejayaan yang memberangsangkan selepas jualannya melangkaui sasaran sebanyak 120 peratus kepada RM2.2 bilion.

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sasaran itu dicapai melalui pameran dan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) sepanjang tempoh tiga hari.

Kejayaan ini menyerlahkan peranan strategik Malaysia dalam mempromosikan perdagangan halal dan keberkesanan inisiatif diplomasi halalnya.

“MIHAS@Dubai bukan sahaja mempamerkan kepimpinan Malaysia dalam industri halal tetapi turut membuka jalan kepada hubungan ekonomi yang lebih mendalam dengan rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA). 

“Sambutan termasuk angka jualan yang menggalakkan menunjukkan permintaan yang agak tinggi bagi produk serta perkhidmatan halal Malaysia, mengukuhkan kedudukan kami sebagai hab halal global,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Ciri utama MIHAS@Dubai ialah INSP, yang menghubungkan syarikat Malaysia dengan pembeli antarabangsa yang dipilih dengan teliti oleh pejabat MATRADE di seluruh dunia.

Program ini memainkan peranan penting dalam memacu jualan sebenar dan berpotensi, menyediakan platform kepada syarikat Malaysia bertemu pelanggan berprofil tinggi selain mewujudkan perkongsian jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata MIHAS@Dubai telah membuka jalan baharu bagi perniagaan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pasaran MENA yang lebih luas. 

“Kejayaan INSP kami menekankan tarikan global ke atas produk serta perkhidmatan halal Malaysia. Acara ini sudah pasti akan menyumbang kepada pertumbuhan eksport dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global,” katanya lagi.

MIHAS@Dubai dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Diadakan mulai 18 hingga 20 Nov, 2024 di Pusat Dagangan Dunia Dubai, acara itu menonjolkan pengaruh Malaysia yang semakin melonjak dalam pasaran halal global termasuk komitmennya untuk memupuk perkongsian perdagangan di seluruh rantau MENA.

Acara itu, yang menarik penyertaan daripada 215 Syarikat Malaysia, mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal, mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam ekonomi halal global.

Semasa majlis itu, MATRADE berkata empat memorandum persefahaman (MoU) dan satu memorandum perjanjian (MoA) telah ditandatangani, menandakan kemajuan penting dalam perdagangan halal. 

MATRADE telah bekerjasama dengan EXIM Bank untuk meningkatkan sokongan kewangan kepada pengeksport Malaysia, memantapkan daya saing global mereka manakala Hijrah Nature Herbs (M) Sdn Bhd berganding dengan Canter & Company (Hong Kong) untuk meluaskan jangkauan antarabangsa produk herba Malaysia. 

Sebaliknya, Agym Nutrition Sdn Bhd bergabung tenaga dengan Stamina AE LLC (UAE) untuk memperkukuh pasaran pemakanan halal di UAE, manakala ANH Smart Venture Sdn Bhd dan Ralex Services LLC-FC (UAE) bekerjasama bagi memacu inovasi teknologi dalam usaha halal. 

“Selain itu, Bubbles O2 Marketing Sdn Bhd dan Richiamo Coffee Sdn Bhd telah memeterai perjanjian untuk mempromosikan industri minuman Malaysia yang bertenaga secara global. Kerjasama strategik ini menyerlahkan komitmen Malaysia dalam memajukan ekosistem halalnya di seluruh dunia,” kata MATRADE.

Menekankan kepentingan MIHAS@Dubai dalam memajukan diplomasi halal Malaysia, Reezal Merican berkata acara ini menonjolkan komitmen Malaysia untuk membina jambatan melalui perdagangan halal.

“Jualan pecah rekod termasuk MoU yang ditandatangani menyerlahkan peranan kami sebagai peneraju halal global. Kami berterima kasih kepada rakan kongsi dan pempamer atas dedikasi mereka dalam menjayakan acara ini,” katanya.

MIHAS@Dubai diwujudkan melalui perkongsian strategik dengan peneraju industri, yang mana DXN Holdings Bhd bertindak sebagai rakan kongsi strategik, manakala Bubbles O2 Marketing Sdn Bhd adalah rakan kongsi minuman pilihan dan Westports berkhidmat sebagai rakan logistik pilihan.

Menurut MATRADE, kejayaan MIHAS@Dubai menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam aspirasi Malaysia untuk menerajui ekonomi halal global. 

“Memandangkan perdagangan antara Malaysia dan rantau MENA terus berkembang, inisiatif MATRADE akan kekal penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala selain membuka peluang baharu untuk perniagaan Malaysia.

“Dengan pencapaian serta visinya yang memecahkan rekod untuk masa depan, MIHAS@Dubai 2024 telah menetapkan penanda aras yang tinggi, mencerminkan komitmen Malaysia yang berterusan terhadap kecemerlangan halal di persada dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan