EKONOMI > BERITA

PENDIRIAN MALAYSIA DALAM ISU ANTARABANGSA TIDAK JEJAS HUBUNGAN DAGANGAN DENGAN AS - PM ANWAR

21/11/2024 12:03 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama -- Pendirian Malaysia dalam isu antarabangsa seperti Gaza dan pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak menjejaskan hubungan perdagangan baik dengan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ketegasan Malaysia dalam dasar luar negara yang menekankan kebebasan menyuarakan hak, juga sebagai mewakili sentimen rakyat Malaysia termasuk dalam aspek mengekalkan prinsip pemusatan apabila mengambil alih kepengerusian ASEAN.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meskipun menjalin hubungan baik dengan AS dan Eropah, kedua-dua pihak terbabit tidak boleh menafikan hak Malaysia yang turut mengambil langkah-langkah perlu bagi mengekalkan hubungan itu.

“Kita tidak hanya jalin hubungan yang baik dengan (pentadbiran Presiden Joe) Biden, tapi juga dengan bakal Presiden Donald Trump. (Pada masa sama) kita juga perlu suarakan kepekaan rakyat Malaysia dengan mengambil sikap bebas dan ini tidak menghalang hubungan dengan China dan Rusia.

"Kita harus menggunakan kebijaksanaan dan mengekalkan hubungan diplomatik yang baik," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lanjut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai usaha Malaysia menseimbangkan hubungan dengan AS apabila Trump mengambil alih pentadbiran ketika Malaysia turut menjalin hubungan dengan Palestin, Rusia dan China. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan