EKONOMI > BERITA

CKD CORP LANCAR KILANG PEMBUATAN LANJUTAN TERMAJU DI KULIM HI-TECH

21/11/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- CKD Corporation hari ini melancarkan pembinaan fasiliti pembuatan tercanggihnya di Kulim Hi-Tech Park, Kedah, menandakan peristiwa penting dalam pembangunan perindustrian Malaysia.

CKD melalui satu kenyataan bersama berkata fasiliti itu akan meliputi 80,000 meter persegi dengan 16,000 meter persegi dibangunkan khusus bagi operasi pembuatan termaju.

"Pelaburan strategik ini bertujuan untuk mengukuhkan sistem pengeluaran CKD membabitkan produk komponen di seluruh rantau ASEAN, membolehkan tindak balas pantas terhadap permintaan global yang semakin meningkat dalam industri pembuatan am.

"Fasiliti baharu ini mengintegrasikan teknologi pembuatan termaju dan sistem pengurusan rantaian bekalan yang canggih, memastikan keupayaan penghantaran tepat pada masanya untuk pelanggan di seluruh dunia," kata syarikat tersebut.

Pengerusi CKD Kazunori Kajimoto melahirkan keyakinan bahawa kilang baharu ini akan memberi impak, dengan menyatakan syarikatnya akan bekerjasama dengan pegawai kerajaan, pelanggan serta kakitangan untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri Malaysia dan cita-cita masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menekankan peranan projek berkenaan dalam memajukan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

"Pelaburan ini merangkumi keupayaan pembuatan berteknologi tinggi, sedia masa hadapan yang ingin dibangunkan oleh Malaysia.

"Komitmen CKD untuk mewujudkan operasi pembuatan termaju di Kedah bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan Asia tetapi juga mempercepatkan transformasi kami dalam menjadi hab teknologi serantau," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan