EKONOMI > BERITA

MISI PM ANWAR TINGKATKAN PERDAGANGAN DAN PELABURAN ASEAN SEBAGAI PENGERUSI ASEAN

26/11/2024 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah meningkatkan perdagangan dan pelaburan ASEAN yang beliau percaya pada masa ini tidak mencukupi dalam Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.

Sehubungan itu, Anwar berkata beliau akan menumpukan usahanya untuk memperkasakan Grid Tenaga ASEAN dan terus mempergiatkan usaha ke arah pendigitalan yang lebih menyeluruh dalam kalangan negara serantau. 

Beliau juga akan menumpukan usahanya sebagai pengerusi perkumpulan serantau untuk mengukuhkan hubungan dengan rakan tradisional ASEAN yang terdiri daripada negara-negara maju iaitu China, Jepun dan Korea Selatan. 

Inisiatif ini akan menjadi tumpuan utama beliau untuk menjadikan Asia Tenggara sebuah rantau ekonomi yang lebih berdaya maju, kata Perdana Menteri dalam ucapan khas di Universiti Kebangsaan Seoul hari ini.

Anwar berkata pendekatan sedemikian penting berdasarkan ASEAN merupakan rantau ekonomi yang paling aman dan dinamik di dunia yang potensi ekonominya perlu direalisasikan sepenuhnya.

Oleh itu, beliau berkata mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan adalah tepat pada masanya berikutan negara berada dalam kedudukan yang baik untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama dan hubungan kerja antara 10 pemimpin ASEAN juga amat baik, sesuatu yang memberikan kelebihan untuk membuat keputusan yang dicapai secara bersama dan meningkatkan hubungan perdagangan kepada tahap yang lebih tinggi.

Dalam bekerjasama dengan China, Jepun dan Korea Selatan, beliau berkata Korea Selatan adalah rakan tradisional yang penting dan Seoul juga telah mencapai kejayaan yang besar. 

Anwar menekankan bahawa dengan lebih banyak penglibatan dengan ketiga-tiga negara ini berdasarkan persahabatan dan kepercayaan, ASEAN akan lebih mampu untuk menangani isu-isu yang lebih rumit.

Menegaskan bahawa Malaysia bertuah kerana menjadi pilihan kepada syarikat antarabangsa utama seperti Oracle, AWS, Google, Microsoft, Nvidia dan Infineon, negara telah menjadi hab kepada aktiviti perniagaan mereka.

Ini telah membolehkan Malaysia menjadi pusat serantau untuk data dan kecerdasan buatan (AI).

Selain itu, ini turut menjadikan Malaysia sebagai hab utama untuk sektor semikonduktor global.

“Kelebihan kita telah membolehkan negara menjalin hubungan ekonomi dengan pelbagai negara (seperti) Amerika Syarikat, Eropah, China, Korea Selatan dan Jepun,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan