EKONOMI > BERITA

MALAYSIA, RUSIA PERKUKUH HUBUNGAN, TUMPU KEPADA PELUANG PERDAGANGAN MELALUI ASEAN, BRICS

27/11/2024 04:59 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Syarikat Malaysia digalakkan meneroka peluang luas yang ditawarkan oleh perniagaan Rusia, terutamanya dalam bidang pendigitalan dan teknologi maklumat (IT), menurut Roscongress Foundation.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexander Stuglev berkata dengan pengalaman luas dalam pendigitalan dan IT, Rusia dapat menawarkan kepada Malaysia penyelesaian terkini dalam bidang seperti keselamatan siber, pembangunan perisian dan telekomunikasi.

“Kedua-dua negara boleh bertukar-tukar amalan terbaik dengan menyepadukan teknologi digital dalam perkhidmatan awam, bandar pintar dan aplikasi industri,” katanya kepada Bernama pada World of Opportunities: Russia-ASEAN International Business Forum di sini pada Selasa.

Selain itu, Stuglev berkata potensi besar untuk kerjasama antara Rusia dan Malaysia dalam sektor tenaga boleh baharu.

Katanya Malaysia menyasarkan untuk mengeluarkan 70 peratus daripada tenaga elektriknya daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang 2050 manakala Rusia bersedia untuk berkongsi kepakarannya dalam pembangunan tenaga angin, solar dan tenaga hidro.

 

Memperkukuh Kerjasama Rusia-Malaysia

Stuglev berkata walaupun menghadapi cabaran global, kerjasama antara Malaysia dan Rusia terus berkembang, dengan pertumbuhan ketara dalam perdagangan, kewangan dan kerjasama tenaga.

Pada 2023, jumlah perdagangan antara Rusia dan Malaysia meningkat 11 peratus kepada US$3.11 bilion daripada US$2.79 bilion pada 2022. 

Eksport Malaysia ke Rusia naik 13 peratus kepada US$619.3 juta pada 2023 manakala eksport Rusia ke Malaysia meningkat 10.8 peratus kepada US$2.49 bilion. 

“Eksport Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik ke Rusia naik 96.9 peratus kepada US$154 juta. Barangan perindustrian kekal sebagai asas eksport Malaysia, meningkat kepada US$575.1 juta pada 2023 daripada US$499.3 juta pada 2022,” katanya. 

Sementara itu, import dari Rusia meningkat kepada US$2.05 bilion pada 2023 daripada US$1.4 bilion pada 2022. 

 

Keanggotaan Malaysia dalam BRICS Meningkatkan Perdagangan dan Kerjasama Ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak BRICS di Kazan baru-baru ini, menegaskan bahawa keanggotaan Malaysia dalam BRICS mengukuhkan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Rusia serta anggota lain pakatan itu.

“Keanggotaan dalam BRICS menyediakan akses kepada pasaran negara anggota, termasuk Rusia, sekali gus meningkatkan eksport dan import. Pakatan itu giat menggalakkan kerjasama pelaburan dalam kalangan anggotanya.

“Ini membolehkan syarikat Malaysia meneroka peluang dalam projek di Rusia berkaitan tenaga, infrastruktur dan teknologi. Pelabur Rusia juga boleh mempertimbangkan projek-projek di Malaysia, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi dan pembuatan,” katanya.

Stuglev berkata kedua-dua negara mempunyai pengalaman luas dalam sektor tenaga. Terdapat potensi besar untuk projek bersama dalam minyak, gas dan tenaga boleh baharu dalam rangka kerja BRICS.

Beliau menegaskan bahawa Roscongress Foundation komited untuk memudah cara kerjasama melalui acara penting seperti St. Petersburg International Economic Forum (SPIEF) dan Eastern Economic Forum (EEF).

Forum ini menjadi platform untuk membincangkan kerjasama BRICS, menggalakkan hubungan perniagaan, memacu projek bersama dan memeterai perjanjian antara syarikat Malaysia dan Rusia, katanya.

Roscongress Foundation ialah institusi pembangunan bukan kewangan yang berorientasikan sosial dan penganjur utama konvensyen di seluruh negara dan antarabangsa.

 

Kerjasama Strategik Rusia-ASEAN 

Stuglev berkata Program Strategik Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan ‘Rusia-ASEAN’ akan ditandatangani pada 2025.

Dokumen itu memperkenalkan bidang kerjasama baharu dan petunjuk yang jelas untuk menilai keberkesanan projek bersama berdasarkan pelan hala tuju semasa.

“Hubungan ekonomi antara Rusia, Malaysia dan ASEAN mempunyai potensi yang besar untuk pertumbuhan yang aktif dalam tempoh lima tahun akan datang. Terdapat kerjasama yang aktif dalam perdagangan, pelaburan, pendigitalan, ekonomi kreatif dan pelancongan sepanjang tahun lepas.

“Selain itu, kerjasama iklim telah menjadi bidang tumpuan utama. Pada Ogos, Rusia dan ASEAN mengadakan rundingan pakar pertama mereka mengenai iklim dengan rancangan untuk meneruskan mesyuarat itu secara berkala,” katanya.

Pada 2023, jumlah perdagangan Rusia dengan negara-negara ASEAN meningkat 14.6 peratus, mencapai paras tertinggi sebanyak US$22 bilion.

Pertumbuhan ini berterusan hingga 2024, naik kepada US$17 bilion setakat ini tahun ini, mencerminkan minat bersama yang kukuh dan kesediaan untuk meningkatkan kerjasama.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan