EKONOMI > BERITA

CCC-ECRL LANCAR LAPORAN ESG 2023, SERLAH KOMITMEN PEMBANGUNAN MAMPAN

28/11/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) melancarkan Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) 2023, yang menekankan komitmennya terhadap pembangunan mampan dan amalan bertanggungjawab sepanjang penjajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengarah Korporatnya Grace Cheng berkata laporan tersebut menyerlahkan sumbangan projek berkenaan yang meningkatkan infrastruktur pengangkutan Malaysia dan merapatkan jarak di antara pantai timur dengan barat.

Selain itu, katanya, projek ini juga membantu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, meningkatkan mata pencarian, berkhidmat kepada masyarakat, memenuhi tanggungjawab sosial dan menjaga alam sekitar.

“Laporan itu menawarkan gambaran keseluruhan yang telus dan bermaklumat, membolehkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor memperoleh gambaran yang lebih mendalam tentang kesan positif projek.

“Ia juga menunjukkan bagaimana ECRL mengintegrasikan inovasi, pembangunan hijau dan impak sosial ke dalam pembinaan dan operasinya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran laporan itu hari ini.

Pada setiap langkah, syarikat tidak pernah mengabaikan isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus.

CCC-ECRL mengutamakan pembinaan hijau yang melibatkan perancangan, reka bentuk dan operasi mesra alam.

Kata Cheng, dari segi tadbir urus, kontraktor projek memberi tumpuan kepada teknologi pembinaan inovatif dan amalan pengurusan.

Menurut beliau, syarikat juga bertanggungjawab dalam sosial melalui program latihan dan kerjasama dengan institusi pendidikan.

"Syarikat berjaya mencipta lebih 20,000 peluang pekerjaan dengan 6,800 pekerja tempatan pada penghujung 2023," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Budaya Jenama China Communication Construction Company (CCCC) Tian Jufang berkata ESG adalah pendorong utama untuk syarikat bersama-sama membina Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang hijau.

"Dengan falsafah panduan 'berpandukan visi, berorientasikan matlamat dan tanggungjawab berjenama', kami mewujudkan tujuh sistem iaitu visi, matlamat, organisasi, peraturan, komunikasi, latihan dan penjenamaan.

"Sistem ini menyokong inisiatif kemajuan ESG di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurut Tian, ECRL adalah projek utama bagi pembinaan bersama berkualiti tinggi di bawah inisiatif BRI.

"Kedua-dua negara harus mengutamakan kerjasama dengan mengintegrasikan prinsip ESG untuk memajukan kejuruteraan hijau serta menyokong pembangunan sosial dan ekonomi tempatan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan