EKONOMI > BERITA

BSN KOMITED CAPAI SASARAN 100 PERATUS LIPUTAN PERKHIDMATAN KE SELURUH NEGARA

30/11/2024 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) komited untuk mencapai sasaran 100 peratus liputan perkhidmatan ke seluruh negara, selari dengan aspirasi kerajaan MADANI. 

Pengerusi BSN Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata BSN sudah berjaya meliputi 97 peratus daripada keseluruhan mukim dalam negara.

“Atas liputan perkhidmatan yang menyeluruh ini, BSN telah diberi kepercayaan sebagai agensi pelaksana untuk mengagihkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada sembilan juta penerima dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 8.4 juta penerima serta beberapa program bantuan lain.

“Sehubungan itu, mana-mana rakan strategik yang perlu menjejaki dan berurusan dengan rakyat Malaysia di seluruh negara, sewajarnya mereka menggunakan rangkaian BSN yang sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun BSN ke-50 di sini malam ini yang turut dihadiri kira-kira 1,200 warga BSN.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pernah menjadi pegawai dan pengerusi bank itu serta Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Awang Adek berkata pengalaman BSN selama setengah abad telah membawa banyak kejayaan terutamanya kepada golongan mudah terpinggir sama ada dari segi lokasi yang jauh di pedalaman atau  dianggap berisiko kewangan tinggi. 

Katanya BSN mencatatkan peningkatan penyimpan hampir sembilan juta orang pada masa ini berbanding 2.5 juta penyimpan di awal penubuhannya pada 1974. 

Bank itu turut mempunyai 387 cawangan di seluruh Malaysia iaitu terbanyak dalam kalangan bank serta 2,300 ejen bank dan 10 cawangan bergerak. 

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah bermurah hati mengumumkan dalam Belanjawan 2025 untuk menambah empat lagi cawangan bergerak supaya BSN dapat mengembangkan lagi perkhidmatan perbankan di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, bagi pembiayaan usahawan mikro, BSN telah mempunyai hampir 100,000 akaun pembiayaan mikro dengan jumlah hampir RM2 bilion sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata BSN boleh berbangga dengan pelbagai anugerah yang telah diterima di peringkat negara dan antarabangsa. 

Menurutnya antara anugerah itu adalah Anugerah Majikan Pilihan Graduan oleh Talent Bank Group (Juara Perbankan Pembangunan 2024), Anugerah Kecemerlangan Perbankan Komuniti Malaysia 2024 dan Tetingkap Perbankan Runcit Islam Terbaik Malaysia 2024.

Selain itu, ia turut dinobatkan sebagai Rakan FI (Institusi Kewangan) Terbaik bagi Kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana 2024, Institusi Pelaburan Terbaik dalam Ringgit Malaysia 2024 dan anugerah khas Anugerah Jenama Majikan Terbaik Malaysia 2024. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan