EKONOMI > BERITA

BANK TERUS LANCAR BANTUAN BANJIR UNTUK PELANGGAN TERJEJAS

02/12/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kumpulan Perbankan RHB (RHB) melancarkan program bantuan banjir dengan memberikan bantuan kewangan segera dan sokongan pemulihan jangka panjang kepada individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro PKS bermula sekarang sehingga 31 Jan 2025.

Menurut RHB, pelanggan PKS yang tidak terlibat dalam program penyusunan semula atau penjadualan semula boleh memohon untuk bantuan pembayaran sehingga enam bulan (Januari hingga Jun 2025) untuk pelbagai kemudahan pembiayaan termasuk Sewa Beli/-i, Pinjaman Pembiayaan/-i, faedah/profit Overdraf/-i, pembayaran bil Multi Trade Line/-i.

“Mereka juga boleh memohon Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) dengan PMKS boleh mengakses pembiayaan sehingga RM700,000 pada kadar istimewa untuk membantu pemulihan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut RHB, pelanggan Individu yang layak boleh memohon pilihan bantuan seperti penangguhan pembayaran sehingga enam bulan (Januari hingga Jun 2025) untuk pembiayaan perumahan, Pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB)/Pembiayaan-i, Pinjaman Peribadi/Pembiayaan-i, dan Pembiayaan Sewa Beli/-i.

“Mereka juga boleh memohon pengecualian caj lewat bayar, faedah/caj pengurusan pada Kad Kredit/-i yang terjejas, sehingga RM500 (Januari hingga Jun 2025). Pengecualian juga diberi untuk yuran penggantian Kad ATM, Kad Debit/-i, dan Kad Kredit/-i,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.rhbgroup.com/-/media/pdf/flood-relief-assistance-2024-faq.pdf.

Sementara itu, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) berkata ia bersedia untuk memberikan sokongan kepada semua pelanggan melalui bantuan pembiayaan yang sedia ada.

Dalam kenyataan berasingan, katanya ia bersedia untuk menyokong PMKS yang memerlukan pembiayaan tambahan melalui DRF.

“Kemudahan tersebut menawarkan pembiayaan sehingga RM700,000 untuk PKS dan RM150,000 untuk perusahaan mikro, dengan kadar pembiayaan yang kompetitif 3.5 peratus setahun (termasuk yuran jaminan) dan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun,” katanya.

SME Bank menggesa pelanggan yang terjejas akibat banjir untuk menghubungi pengurus perhubungan masing-masing atau Pusat Panggilan Pelanggan Bank di 03-2603 7700.

Sementara itu, Kumpulan AmBank turut menawarkan bantuan banjir kepada pelanggan yang terjejas di seluruh negara.

Menurutnya bank itu menawarkan bantuan yang disasarkan kepada pelanggan yang layak dengan moratorium sehingga enam bulan untuk semua kemudahan pembiayaan.

Untuk permohonan dan maklumat lanjut mengenai bantuan ini, layari  https://www.ambank.com.my/repayment-assistance/flood-relief-programme

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan