EKONOMI > BERITA

AWS SASAR PERTUMBUHAN KUKUH PASARAN PERKHIDMATAN AWAN ASEAN

03/12/2024 03:31 PM

Daripada Anas Abu Hassan

LAS VEGAS, 2 Dis (Bernama) -- Amazon Web Services (AWS) menjangka pertumbuhan kukuh dalam perniagaan perkhidmatan awannya, dipacu oleh penerimagunaan kecerdasan buatan generatif (Gen-AI) yang akan meningkatkan lagi ekonomi digital di seluruh rantau ASEAN.

Pengarah Urusan AWS ASEAN Jeff Johnson menekankan bahawa syarikat itu memberi tumpuan terhadap tiga bidang utama untuk membantu mewujudkan masa depan digital yang diperlukan di rantau ini -- keselamatan, keterangkuman dan kelestarian.

"Kami optimis bagaimana kami boleh terus membantu ekonomi digital ASEAN untuk berkembang. Apa yang menarik adalah 61 peratus daripada 680 juta penduduk ASEAN di bawah umur 35 tahun, dan kami mempertimbangkan mengenai peluang digital dan kesedaran mengenai daripada peratusan besar penduduk.

"ASEAN terus mempunyai populasi Internet yang paling pesat berkembang, penambahan 125,000 pengguna Internet pada setiap hari dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang 2030. Dalam konteks ini, kami teruja bagaimana kami boleh membantu pelanggan, rakan kongsi dan kerajaan," katanya pada taklimat media di luar program AWS re: Invent 2024 di sini pada Isnin.

Mengambil contoh beberapa pelaburan penting di rantau ini, Johnson berkata baru-baru ini syarikat itu mengumumkan pelaburan sebanyak US$8.8 bilion (US$1= RM4.46) di Singapura sehingga 2028 berikutan pelaburan awal US$8.5 bilion bagi wilayah AWS pertama di Asia Tenggara.

Menurutnya ini dianggarkan memberi impak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura sebanyak US$17.6 bilion.

"Di Malaysia, kami melancarkan lokasi kami di Kuala Lumpur pada Ogos tahun ini, dan kami sangat teruja mengenainya. Ia melibatkan pelaburan berjumlah US$6.2 bilion dengan anggaran impak KDNK US$12.1 bilion.

“Kami sedang mewujudkan lokasi keempat kami di ASEAN iaitu Bangkok, Thailand, secara dalam talian pada awal 2025, mewakili pelaburan kira-kira US$5 bilion," katanya sambil memaklumkan syarikat itu telah membuat pelaburan besar sebanyak US$5 bilion di Jakarta, Indonesia.

AWS re:Invent 2024 yang diadakan pada 2-6 Disember 2024 di pelbagai lokasi di Las Vegas adalah persidangan pembelajaran yang dianjurkan AWS kepada komuniti pengkomputeran awan global.

Acara itu akan mengetengahkan pandangan utama, peluang latihan dan pensijilan, akses kepada lebih daripada 2,000 sesi teknikal, dan pameran yang dijangka menghimpunkan kira-kira 60,000 peserta daripada seluruh dunia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan