Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan dalam proses menganalisis anggaran hasil tambahan yang boleh dikutip daripada pengenalan cukai dividen sebanyak dua peratus, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata anggaran tambahan hasil yang telah dimuktamadkan akan diumumkan berdasarkan keperluan.
“Proses penyediaan anggaran ini mengambil masa kerana terdapat keperluan kepada Kementerian Kewangan untuk mengumpulkan data-data pembayaran dividen daripada pelbagai sumber,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Cukai pengenalan dua peratus telah diperkenalkan ke atas pemegang saham dengan dividen tahunan lebih RM100,000 dalam Belanjawan 2025.
Lim berkata cukai yang akan dikenakan pada kadar dua peratus ini adalah rendah berbanding negara lain yang juga mengenakan cukai ke atas pendapatan pelaburan seperti di United Kingdom iaitu sebanyak 39.35 peratus.
Dalam pada itu, Lim berkata pelaksanaan cukai dividen dijangka tidak memberi impak besar kepada pasaran saham dan tidak menjejaskan transaksi pelaburan di Malaysia.
“Sejak pengumuman, tiada reaksi ketara dari segi pergerakan atau prestasi Bursa Malaysia yang mencadangkan sebarang kehilangan minat pelabur.
“Pelaksanaan cukai dividen juga dijangka tidak mengakibatkan pemindahan dana pelaburan yg signifikan ke luar negara,” katanya.
Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Kewangan 2024 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan timbalan menteri.
RUU berkenaan antara lain melibatkan pengenaan cukai dividen, penambahbaikan ke atas cukai keuntungan modal dan cukai minimum global, semakan semula dan lanjutan tempoh pelepasan cukai bagi individu.
Selain itu, RUU berkenaan bagi menambah baik penetapan mekanisme selaras pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Cukai Keuntungan Harta Tanah dan semakan semula kadar duti setem.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial