EKONOMI > BERITA

KERAJAAN LANJUT PENANGGUHAN SYARAT GUNA TENAGA 80:20 HINGGA PELAKSANAAN PENUH LEVI PELBAGAI PERINGKAT

16/12/2024 08:32 PM
From: Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pelanjutan penangguhan pematuhan syarat penggajian guna tenaga 80:20 bagi sektor pembuatan akan terus berkuat kuasa sehingga mekanisme levi pelbagai peringkat (MTLM) dilaksanakan sepenuhnya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata ini bagi memberikan kelonggaran kepada industri untuk menyesuaikan keperluan tenaga kerja mereka dengan lebih fleksibel, tanpa menjejaskan objektif kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing

Dasar 80:20 merujuk kepada syarat penggajian guna tenaga yang menetapkan nisbah 80 peratus pekerja tempatan dan 20 peratus pekerja asing dalam sektor tertentu, terutamanya sektor pembuatan.

MTLM pula adalah insentif kepada majikan supaya mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan meningkatkan pengambilan pekerja tempatan, selaras dengan dasar kerajaan semasa. 

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan akan melaksanakan MTLM pada awal tahun depan untuk menggalakkan automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat. 

Bagi sektor pembuatan, MTLM bakal mengambil alih dasar 80:20 yang termaktub dalam syarat Lesen Pengilang. 

Levi yang dikutip akan disalurkan semula kepada pihak industri untuk meningkatkan penggunaan teknologi serta automasi, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan pekerja asing yang sekali gus bakal menyumbang kepada peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global.

"Bagaimanapun, mengambil kira pelbagai faktor dan maklum balas daripada sektor industri, penangguhan pematuhan dasar 80:20 akan terus dilanjutkan sehingga MTLM dilaksanakan sepenuhnya," kata MITI.

Kerajaan secara berterusan menggalakkan sektor pembuatan beralih kepada automasi dan teknologi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Sementara itu, MITI berkata, ia akan terus memberi fokus meningkatkan kemahiran pekerja tempatan sebagai salah satu langkah utama untuk memastikan tenaga kerja tempatan dapat bersaing dalam ekonomi global yang semakin berteknologi tinggi. 

“Peningkatan kemahiran ini bertujuan untuk menyediakan pekerja yang lebih berkemampuan dan dapat menyumbang kepada pendapatan bermaruah serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“MITI juga akan terus berusaha untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan sektor pembuatan dapat terus berkembang dengan lebih mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan