EKONOMI > BERITA

MOSTI, CRADLE LANCAR STARTUP ASEAN, PROMOSI STI DALAM EKOSISTEM SERANTAU

18/12/2024 10:31 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Cradle Fund Sdn Bhd melancarkan platform digital, Startup ASEAN dalam usaha menjadikan negara anggota perkumpulan itu sebagai penggiat dalam landskap syarikat itu di peringkat global.

Menteri MOSTI Chang Lih Kang berkata Startup ASEAN akan mempromosi dan memudahcara aspek Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam lingkungan ekosistem syarikat permulaan ASEAN dan berperanan sebagai gerbang bagi komuniti syarikat permulaan ASEAN yang mantap.

"Startup ASEAN bukan setakat sebuah platform digital tetapi membuktikan komitmen bersama bagi memupuk inovasi, memperkukuh kerjasama dan membangunkan ekosistem tangkas bagi pertumbuhan teknologi," katanya pada Sesi Kepimpinan bersempena Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Chang berkata dalam beberapa fasa Startup ASEAN, Malaysia akan bekerjasama dengan semua negara anggota perkumpulan itu untuk mencetuskan ekosistem syarikat permulaan menerusi pengumuman mengenai Tahun Syarikat Permulaan ASEAN 2025 - tempoh yang sarat dengan inisiatif serantau termasuk acara hackathon, festival dan sidang kemuncak.

 Inisiatif itu menumpukan pemupukan dasar mesra syarikat permulaan, meningkatkan kesediaan ekosistem di seluruh negara anggota ASEAN selain memacu kerjasama berkesan bagi mewujudkan perkongsian dan sinergi bermakna dalam rantau ini.

Menurut MOSTI, inisiatif pertama di bawah Syarikat Permulaan Teknologi ASEAN adalah platform yang diatur oleh pasukan petugas daripada kesemua 10 negara anggota ASEAN - Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Menjelang pelancaran rasminya pada suku kedua 2025, Startup ASEAN mempelawa syarikat permulaan dan rakan ekosistem dari semua negara ASEAN untuk menyertai platform berkenaan.

Usahawan berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.startup-asean.org dan menjadi sebahagian daripada lonjakan inovasi seterusnya bagi rantau ini.

Dalam perkembangan lain, Chang menyifatkan kuasa transformasi kuasa teknologi digital sebagai meluas dengan kecerdasan buatan (AI) menjadi nadinya.

Malaysia dan China berkongsi peluang unik untuk menerajui ruang itu, memacu pertumbuhan ekonomi, memupuk inovasi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Bagi mengekalkan momentum ini, kita perlu menetapkan keutamaan perdagangan dan inovasi digital menerusi perjanjian dua hala. Langkah penubuhan pasukan petugas bersama dan memupuk perkongsian awam-swasta juga dapat memacu pelaksanaan projek digital secara transformatif," katanya.

Sementara itu, pada sesi sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata lokasi strategik Malaysia dan dasar kerajaan yang mesra perniagaan menjadikan negara ini sebagai destinasi ideal bagi pelabur. 

Beliau berkata Malaysa menyasarkan untuk menarik pelaburan dari seluruh dunia dengan menawarkan persekitaran kondusif bagi membolehkan perniagaan mewujudkan operasi, terutama kemudahan pembuatan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan lonjakan pelaburan dalam pusat data, sekali gus menekankan infrastruktur digitalnya yang kukuh.

"Menerusi pembangunan rangkaian 5G, perniagaan bukan setakat mendapat manfaat daripada kesalinghubungan fizikal yang amat baik tetapi juga kesalinghubungan digital yang maju dan memastikan perkhidmatan internet lebih pantas dan cekap.

“Infrastruktur yang kukuh ini hanya menguatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan yang berdaya saing," katanya.

Sambil merujuk beberapa projek utama di Malaysia, Loke turut mengetenghkan impian Malaysia untuk menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai gerbang e-dagang utama bagi rantau ASEAN.

Beliau berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) selaku pengendali lapangan terbang itu, telah memulakan perbincangan dengan lapangan terbang kargo terkemuka di utara China untuk mewujudkan strategi dwi-hab.

Di bawah perancangan itu, Zhengzhou akan berperanan sebagai hab untuk pasaran China manakala KLIA menjadi hab untuk destinasi ASEAN.

"KLIA berpotensi menjadi hab kargo utama Asia Tenggara bersama lapangan terbang lain bagi menyokong operasi kargo," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan