EKONOMI > BERITA

MATRADE MAHU LEBIH BANYAK PRODUK KELANTAN BERNILAI TINGGI DIEKSPORT KE LUAR NEGARA

19/12/2024 12:16 AM

KOTA BHARU, 18 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berhasrat menjadikan lebih banyak produk usahawan Kelantan yang bernilai tinggi untuk menembusi pasaran global.

Pengarah Wilayah Timurnya, Zaimah Osman berkata kebanyakan usahawan di negeri ini mengusahakan produk unik setanding dengan produk usahawan di Lembah Klang, sekali gus berpotensi untuk dieksport ke luar negara.

Beliau berkata, MATRADE menyediakan pelbagai geran untuk membantu usahawan tempatan mengeksport produk masing-masing termasuk Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) dengan nilai maksimum RM300,000.

Geran berkenaan, katanya bagi menampung sebahagian kos perbelanjaan untuk usahawan tempatan menyertai aktiviti eksport.

“Kita tahu untuk memasarkan sesuatu produk ke peringkat global termasuk di Amerika Syarikat (AS) bukan mudah, tetapi kita akan bantu, malah kita mempunyai rakan perdagangan terbesar, jadi ia dapat memudahkan hubungan perdagangan Malaysia dengan AS. 

“Hampir setiap tahun jumlah usahawan semakin meningkat bahkan produk yang dihasilkan mereka dilihat berpotensi untuk dieksport. Oleh itu, kita berharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan Kelantan yang dapat membawa produk masing-masing ke pasaran luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Produk I-Medikel Pharma ‘Dari Kota Bharu ke New York’ di Wisma I-Medikel Telipot di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaimah berkata pihaknya juga menggesa usahawan tempatan mahupun syarikat untuk mengetahui dengan lebih lanjut selain cakna mengenai geran yang ditawarkan MATRADE bagi membangunkan produk yang dihasilkan.

“Setiap tahun kita mempunyai Program Buddy apabila pihak MATRADE akan memilih 10 usahawan untuk digilap daripada zero to hero dan menjadi juara eksport.

"Sekecil-kecil pasaran pun tidak mengapa asalkan ada peluang untuk usahawan ini berkembang lebih jauh dalam pasaran sekali gus produk mereka akan kekal relevan," katanya.

Menurutnya, apabila produk mereka mampu menembusi pasaran global, syarikat akan mendapat keuntungan lebih besar sekali gus pendedahan produk juga akan lebih meluas selain memberi keterjaminan produk untuk terus bertahan dalam pasaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan