EKONOMI > BERITA

PENGGUNAAN MATA WANG KRIPTO BAGI CUCI DUIT DI MALAYSIA RENDAH - LIM

18/12/2024 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Hasil dapatan menunjukkan penggunaan mata wang kripto sebagai antara medium untuk mencuci duit di Malaysia adalah rendah, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata dapatan ini daripada Penilaian Risiko Virtual Assets terkini yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Pencegahan Pengubahan Wang Haram peringkat Kebangsaan (NCC).

Katanya ia turut melibatkan pemerhatian Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Strategi kerajaan berkaitan pengawalan mata wang kripto adalah melalui pengenaan obligasi pelaporan terhadap semua pengendali pertukaran aset digital atau mata wang kripto (Digital Asset Exchanges, DAX) yang berdaftar di bawah Akta 613 (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001).

“Pengendali DAX ini juga dikawal selia oleh SC. Selanjutnya, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, strategi dan pelan tindakan yang bersesuaian telah dibincangkan dan akan diperincikan melalui platform NCC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024 di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Lim menegaskan Malaysia tidak tersenarai dalam 'senarai kelabu' dan 'senarai hitam' berdasarkan piawaian yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).

FATF merupakan badan antarabangsa yang dianggotai oleh 40 negara termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia yang menjadi ahli daripada blok ASEAN dan lebih 200 negara memakai piawaian dan saranan FATF.

“Piawaian FATF merupakan saranan bagi sesuatu negara mencegah dan membanteras risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan/pembiayaan percambahan (ML/TF/PF).

“Sebagai negara ahli FATF, Malaysia melaksanakan piawaian FATF bagi mencegah dan membanteras risiko ML/TF/PF di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Dalam melaksanakan langkah-langkah ini, kedaulatan negara sentiasa dipastikan terpelihara,” katanya.

Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan RUU Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2024 dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 18 senator.

Terdahulu, Lim menjelaskan RUU itu akan menyumbang ke arah usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sektor kewangan yang berintegriti selain meningkatkan tahap pematuhan Malaysia kepada piawaian antarabangsa.

“Ini akan menyokong agenda transformasi ekonomi Malaysia,” ujarnya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan