EKONOMI > BERITA

WINSTAR CAPITAL SASAR PERTUMBUHAN JUALAN PADA 2025 MELALUI PERALIHAN DASAR CUKAI CHINA

19/12/2024 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis  (Bernama) -- Pengeluar produk aluminium Winstar Capital Bhd menyasarkan peningkatan pertumbuhan jualannya dengan memanfaatkan peralihan dasar cukai oleh China baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bukan Bebasnya Vincent Chua Boon Hong berkata syarikat itu kini memegang 2.7 peratus daripada pasaran aluminium Malaysia bernilai RM3.2 bilion dan berpotensi besar untuk pengembangan.

“Syarikat optimis terhadap masa depan dengan pertumbuhan dijangka berlaku dalam pasaran penyemperitan aluminium dan tenaga solar pada 2025.

"Peralihan dasar di China baru-baru ini yang melibatkan pengurangan bayaran balik cukai daripada 13 peratus kepada sifar, akan meningkatkan kemasukan produk dari China ke pasaran Malaysia, dan ini sudah tentu memberi manfaat kepada kita," katanya dalam sidang media selepas penyenaraian Winstar di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

 Vincent berkata Winstar berpeluang terlibat dalam projek program Solar Skala Besar (LSS5) yang dijangka diumumkan bulan depan.

"Peranan Winstar dalam projek ini akan tertumpu dalam membekalkan struktur pelekap aluminium, yang penting untuk pemasangan panel solar," katanya.

Saham Winstar dibuka 14 sen lebih tinggi pada 49 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 35 sen ketika penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

Sebanyak 4.77 juta saham bertukar tangan ketika dagangan dibuka.

“Sebanyak RM19.79 juta hasil yang diperoleh daripada IPO, kami merancang untuk menggunakan RM9.55 juta atau 48.25 peratus daripadanya bagi membeli mesin dan peralatan penekan penyemperitan aluminium baharu untuk kilang pembuatan yang baharu.

“Selain itu, RM6.24 juta (31.54 peratus) akan digunakan untuk modal kerja am dan RM4.00 juta (20.21 peratus) untuk membayar perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Syarikat itu berkata selepas penyenaraian, Winstar menyasarkan untuk mengagihkan 30 peratus daripada keuntungan disatukan teraudit tahunannya selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebagai dividen, tertakluk kepada prestasi perniagaan kumpulan dan keperluan aliran tunai untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan