EKONOMI > BERITA

MAH SING BELI TANAH DI JOHOR BAHRU DENGAN NILAI PEMBANGUNAN KASAR RM1.5 BILION

19/12/2024 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd merancang untuk membeli tanah pegangan bebas seluas 2.424 hektar di Johor Bahru, Johor yang diperuntukkan untuk pembangunan pangsapuri perkhidmatan premium dan unit runcit.

Anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) bagi pembelian tanah berkenaan adalah sebanyak RM1.5 bilion.

Ini menandakan pembelian keenam bagi kumpulan itu pada 2024, menjadikan jumlah GDV bagi kesemua enam tanah tersebut sebanyak RM5.8 bilion.

Mah Sing dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata anak syarikat milik penuhnya, Dsara Sentral Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual beli dengan anak syarikat SP Setia Bhd, Pelangi Sdn Bhd, bagi tujuan pembelian berkenaan.

Jumlah pertimbangan pembelian adalah RM156.80 juta.

"Seiring dengan strategi pemulihan pantas kumpulan dan tertakluk kepada kelulusan kawal selia, pendaftaran minat untuk M Grand Minori dijangka bermula pada suku kedua 2025," katanya.

Pemaju hartanah itu berkata, dengan sokongan kedudukan kewangan yang kukuh dan permintaan yang menggalakkan untuk projeknya, Mah Sing memberi tumpuan untuk mengembangkan portfolio tanahnya di Johor.

Syarikat tersebut secara aktif mencari peluang baharu dalam pembangunan bandar, projek industri dan pembangunan M Series.

Dalam satu kenyataan, Mah Sing berkata Johor merupakan wilayah pembangunan kedua terbesar selepas Lembah Klang.

Setakat ini, kumpulan itu telah menjual kira-kira 17,000 unit pembangunan kediaman, komersial dan industri di Johor sahaja.

Projek infrastruktur yang akan datang di Johor seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura dan potensi pemulihan projek kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura akan meningkatkan lagi hubungan dan aksesibiliti di rantau ini.

Kata Mah Sing, rangkaian RTS Johor-Singapura akan menawarkan penduduk sambungan tanpa gangguan di antara Bukit Chagar dengan Woodlands North dengan perjalanan kereta api yang cepat selama lima minit sekali gus menyediakan akses yang selesa ke Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan