KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings) menjangka pasaran minyak sawit akan terus menghadapi ketidaktentuan yang ketara menjelang 2025, dengan cabaran dari aspek bekalan berikutan cuaca buruk dan kadar penanaman semula yang perlahan.
Menurut agensi penarafan itu, harga minyak sawit pada 2024 kekal tinggi berikutan kekangan bekalan global, didorong oleh eksport yang berkurangan daripada pengeluar minyak sawit terbesar, Indonesia dan keadaan cuaca buruk di Malaysia baru-baru ini.
“Pada masa depan, harga minyak sawit dijangka kekal tinggi, pada purata RM4,600/tan metrik (MT) pada 2025 (2024: RM4,200/MT; 2023: RM3,812/MT).
“Risiko positif termasuklah pengeluaran kacang soya yang lebih rendah daripada jangkaan dan dasar eksport minyak sawit Indonesia yang semakin ketat.
“Sebaliknya, risiko negatif termasuklah permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan daripada pasaran utama seperti China dan India serta keadaan cuaca dan peningkatan pengeluaran minyak makan lain,” katanya dalam kenyataan.
MARC Ratings berkata permintaan terhadap minyak sawit dalam pengeluaran biodiesel kekal kukuh, disokong oleh mandat dasar di Indonesia.
Katanya kadar campuran biodiesel dijangka meningkat kepada 40 peratus (B40) pada 2025 daripada 35 peratus (B35) pada masa ini, dengan pelan untuk menaikkannya kepada 50 peratus (B50).
Persatuan Minyak Sawit Indonesia menganggarkan pencapaian B40 dapat memacu permintaan yang lebih tinggi dengan tambahan lima juta MT.
“Peningkatan ini menekankan peranan biodiesel yang semakin meningkat sebagai pemacu penggunaan minyak sawit,” katanya.
Permintaan terhadap minyak makan global kekal penting berikutan minyak sawit biasanya merupakan alternatif yang menjimatkan kos berbanding minyak sayuran lain.
Minyak sawit juga merupakan bahan mentah utama untuk makanan yang diproses.
Menurut anggaran terkini daripada Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, jumlah import global minyak sawit diunjurkan meningkat kepada kira-kira 44.6 juta MT pada 2025 (2024: 42.9 juta MT) manakala penggunaan domestik dijangka mencecah 78.3 juta MT (2024: 75.1 juta MT).
“Berdasarkan harga semasa, minyak sawit berada pada kedudukan lebih tinggi berbanding minyak makan lain seperti kacang soya dan bunga matahari, yang boleh mengekang pertumbuhan permintaan,” katanya.
Impak terhadap harga berikutan perubahan peraturan seperti kenaikan duti kastam minyak makan India dan kelewatan pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah hingga 2026 dijangka dapat mengimbanginya.
Berdasarkan kelapa sawit adalah tanaman yang sensitif terhadap cuaca, pengeluaran minyak sawit akan menghadapi kekangan berikutan cuaca lembap yang berterusan menyebabkan banjir di negeri-negeri pengeluaran utama.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan aliran hujan yang tinggi ini akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama 2025, dengan potensi kepada cuaca La Niña.
Bagaimanapun, apabila cuaca kembali normal pada separuh kedua 2025, cuaca kering boleh meningkatkan pertumbuhan dan penuaian walaupun impaknya terhadap pengeluaran hanya dapat direalisasikan pada 2026.
Kemajuan penanaman semula pokok kelapa sawit kekal di bawah sasaran. Malaysia menanam semula 132,000 hektar atau 2.3 peratus daripada jumlah kawasan tanaman pada 2023 (2022: 97,130 hektar, 1.7 peratus), kurang daripada sasaran tahunan kerajaan sebanyak empat peratus.
“Sasaran ini mewakili 228,000 hektar tetapi masih jauh di bawah 450,000 hektar pokok yang berusia 25 tahun atau lebih yang perlu digantikan berikutan kemerosotan hasil yang ketara selepas 20 tahun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial