EKONOMI > BERITA

KKM ALU-ALUKAN LANGKAH KAWAL SELIA PREMIUM INSURANS, TAKAFUL, INTERVENSI

20/12/2024 11:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal selia kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) adalah intervensi jangka pendek agar rakyat tidak terbeban dengan inflasi yang mendadak.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyambut baik langkah interim diumum BNM itu memaklumkan bahawa untuk kesan jangka panjang, usaha bersepadu dengan mengambil pendekatan seluruh negara atau whole-of-nation perlu dilaksanakan.

KKM akan meneruskan inisiatif sedia ada yang akan diselaraskan melalui siri libat urus dengan para pemegang taruh termasuk hospital swasta, klinik swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), industri MHIT, ahli ekonomi kesihatan, dan lain-lain.

Di samping itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] juga akan disemak semula bagi memperkukuh kerangka kawal selia sektor kesihatan swasta bagi menjamin kesaksamaan akses orang ramai kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi dan berasaskan nilai.

“KKM akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan isu ini ditangani secara holistik, dan menjamin penjagaan kesihatan sejagat untuk semua,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah diumum BNM antaranya melibatkan penginsurans dan pengendali takaful (ITO) untuk melaksanakan perubahan premium yang diagihkan disebabkan inflasi tuntutan perubatan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan penetapan semula premium.

Inflasi perubatan antaranya berpunca akibat kenaikan gaji dan upah petugas kesihatan selain faktor negara menuju negara menua, menyaksikan keperluan perubatan meningkat disebabkan lebih ramai masyarakat mencapai usia emas.

Ia juga berpunca daripada faktor peningkatan prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi yang menyebabkan lebih ramai rakyat terdedah kepada risiko komplikasi serta penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang tahap akhir, sakit jantung dan kanser.

Tabiat pengguna dan mekanisme pasaran turut memainkan peranan, seperti ‘buffet table syndrome’ iaitu  orang ramai memilih pelan perkhidmatan dan menjalani prosedur yang tidak diperlukan disebabkan lebih cenderung membuat pilihan tanpa mempunyai maklumat mencukupi.

Bagi menangani inflasi, pihak KKM telah mengambil langkah proaktif termasuk melalui Rakan KKM dengan menawarkan pilihan perkhidmatan ‘ekonomi premium’ pada harga munasabah dan mampu milik di fasiliti KKM.

KKM turut mengambil tindakan untuk membangunkan Diagnosis Related Groups (DRGs) kebangsaan sebagai suatu mekanisme pembayaran perkhidmatan bagi menggalakkan perkhidmatan kesihatan berasaskan nilai(VBHC) di sektor swasta dan awam.

KKM juga memudahcara serta menggalakkan lebih banyak pengeluar mendaftarkan produk, terutama ubat-ubatan generik dan peranti perubatan dengan badan kawal selia negara selain bekerjasama dengan BNM dan beberapa pihak lain untuk pembangunan produk MHIT yang lebih mampan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan