Oleh S Kisho Kumari
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Airbus telah memberi jaminan untuk memberi sokongan penuh kepada Malaysia Airlines yang bertindak menggantung operasi sebuah pesawat baharu Airbus A330neo (pilihan enjin baharu) selama sekurang-kurangnya 48 jam selepas melakukan penerbangan sulung ke Melbourne pada 19 Disember lepas.
Pesawat yang dilengkapkan dengan teknologi enjin terbaharu Rolls Royce, mengalami masalah teknikal selepas melakukan penerbangan sulung yang dikaitkan dengan kebimbangan melibatkan kualiti pengeluaran serta proses penghantarannya.
“Kami sedang memberi sokongan secara langsung kepada syarikat penerbangan itu bagi meleraikan isu-isu ini bersama dengan pihak Rolls-Royce,” kata jurucakap Airbus kepada Bernama hari ini.
Pada 19 Disember lepas, Malaysia Aviation Group (MAG) yang juga syarikat induk bagi syarikat penerbangan nasional itu, mengadakan majlis memperkenalkan pesawat A330-900 (A330neo) pertama di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut laporan media, Malaysia Airlines terpaksa bertindak membatalkan penerbangan MH149 ke Melbourne pada 21 Disember lepas akibat isu teknikal serta apa didakwa sebagai hasil kerja kilang yang tidak memuaskan, sekali gus menyebabkan pesawat itu digantung operasi pada masa ini bagi kerja-kerja baik pulih.
A330neo merupakan pesawat terbaharu menyertai kumpulan pesawat MAG yang terus meningkat dengan penghantara sebanyak 20 pesawat menjelang 2028 susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) degan Airbus, Rolls-Royce dan Avolon pada Ogos 2022.
Pesawat yang dikuasakan oleh enjin Trent 7000 Rolls-Royce, bercirikan inovasi terkini dalam aerodinamik, bahan mentah maju dan membolehkan pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sehingga 14 peratus berbanding generasi sebelumnya.
MAG pada masa ini mengendalikan sebanyak 107 kumpulan pesawat yang digunakan anak syarikatnya, termasuk Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan MASkargo.
Selain daripada Airbus, MAG juga dijejaskan oleh kelewatan penghantaran pesawat Boeing 737-8 pada tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial