PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd (VentureTECH) dan MTC Orec Sdn Bhd (MTC Orec) menjalin kerjasama strategik bagi memacu pembangunan loji biometana MTC Orec, sekali gus memperkukuh komitmen terhadap pertumbuhan mampan serta inovasi tenaga boleh baharu (TBB).
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat itu menyatakan pelaburan VentureTECH adalah bagi memudahcara pembangunan loji biometana di wilayah utara dan timur Malaysia.
Pelaburan itu akan membolehkan pelaksanaan projek biometana dengan kerjasama pemain minyak dan gas terkemuka yang dijadual bermula tahun depan.
Usaha berkenaan dijangka memberi sumbangan besar terhadap matlamat TBB Malaysia, memupuk pertumbuhan mampan dan mengukuhkan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan karbon, kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH, Ahmad Redzuan Sidek berkata pelaburan itu memaparkan kesungguhan syarikat menyokong perniagaan yang berwawasan dan mengutamakan kemajuan masa depan selain menyumbang ke atas pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata kepakaran MTC Orec dalam biotenaga dan sumbangannya kepada sasaran TBB Malaysia, juga hanya menjadikannya sebagai rakan yang ideal.
“Kerjasama ini tidak hanya akan mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan penggunaan TBB, tetapi turut mewujudkan peluang besar kepada syarikat bumiputera dan komuniti tempatan.
“Usaha bersama ini membolehkan kita membuka jalan bagi landskap tenaga lebih mampan dan inklusif," katanya.
Kerjasama itu juga, katanya, membolehkan VentureTECH memupuk usaha penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi dan menggalakkan kepakaran kejuruteraan, khususnya di pedalaman dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan itu.
“Projek inovasi MTC Orec itu selaras dengan aspirasi Malaysia bagi pertumbuhan mampan dan inklusif, memacu transformasi sosial dan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi MTC Orec Ir Dr Norshah Hafeez Shuaib menyifatkan pelaburan itu sebagai bukti terhadap kepercayaan dan keyakinan VentureTECH ke atas visi serta kemampuan syarikat berkenaan.
“Ini akan memperkasakan kami untuk meningkatkan lagi operasi, menyampaikan projek biometana serba maju dan memberi sumbangan bermakna kepada pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan luar bandar.
"Bersama dengan VentureTECH, kami menetapkan penanda aras baharu untuk penyelesaian tenaga mampan yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang," katanya.
Kerjasama itu turut menyerlahkan visi bersama VentureTECH dan MTC Orec bagi memajukan ekosistem TBB Malaysia.
Menerusi usaha memperjuang projek biogas yang memberi kesan, kerjasama itu bukan sahaja memberi manfaat alam sekitar, ekonomi dan sosial jangka panjang tetapi turut memacu inovasi serta kemampanan dalam landskap tenaga Malaysia, membuka jalan bagi masa depan lebih hijau dan inklusif.
MTC Orec adalah syarikat kejuruteraan tempatan yang khusus dalam sektor biotenaga dan turut dikenali sebagai pakar dalam reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kemudahan biogas dengan rekod prestasi terbukti dalam penukaran sisa kepada TBB.
Ia juga berjaya membangunkan salah satu kilang biometana berasaskan Efluen Kilang Minyak Sawit (POME) yang pertama bagi menyuntik biometana secara langsung ke dalam saluran paip gas nasional Malaysia.
Pencapaian itu turut mencerminkan kepimpinan MTC Orec dalam melaras penyelesaian inovatif dengan agenda kemampanan Malaysia.
Bersandarkan kejayaan kerjasama dengan pelanggan terkemuka seperti Gas Malaysia, MTC Orec kini mengembangkan lagi operasinya dengan empat loji biotenaga tambahan yang sedang dibangunkan di seluruh Johor dan wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Kesemua projek-projek ini berperanan penting dalam menangani cabaran alam sekitar yang kritikal, termasuk pengurusan sisa dan pelepasan gas rumah hijau, selain menyumbang kepada peluang ekonomi untuk komuniti tempatan.
Dalam pada itu, VentureTECH adalah syarikat pelaburan impak disokong kerajaan yang ditubuhkan sebagai pemangkin pertumbuhan industri tempatan, terutama bumiputera dalam industri nilai tambah dan berteknologi tinggi menerusi pelaburan ekuiti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial