EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA KEMAS KINI KEPERLUAN PELAPORAN MAMPAN UNTUK DISELARASKAN DENGAN NSRF

23/12/2024 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengemas kini keperluan pelaporan kemampanannya dalam keperluan penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE untuk diselaraskan dengan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF).

Bursa Malaysia berkata penambahbaikan itu bertujuan untuk memacu penggunaan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa untuk pendedahan kemampanan satu (IFRS S1) dan pendedahan berkaitan iklim IFRS S2, yang mana akan menjadi asas bagi pelaporan kemampanan di Malaysia.

“Penambahbaikan ini bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti bagaimana penerbit tersenarai mengurus risiko dan peluang berkaitan kemampanan (SRO) mereka menggunakan piawaian yang diiktiraf di peringkat global.

“Ini seterusnya akan dapat mengukuhkan daya tahan perniagaan dan meningkatkan keupayaan pelabur untuk merujuk dan membandingkan data,” kata bursa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah keperluan yang dipertingkatkan itu penerbit tersenarai perlu menyediakan penyata kemampanan mereka dalam laporan tahunan mengikut piawaian pendedahan kemampanan IFRS.

Penyata kemampanan itu mesti memasukkan metrik dan sasaran yang menunjukkan prestasi dan kemajuan penerbit pada SROnya bagi tiga tahun kewangan yang lepas, bersama-sama dengan ringkasan data sedemikian dalam format yang ditetapkan.

Penyata itu juga mesti mengesahkan sama ada penyata kemampanan penerbit telah disemak secara dalaman oleh juruaudit dalamannya atau dijamin secara bebas oleh piawaian jaminan yang diiktiraf.

Bursa Malaysia berkata memandangkan tahap kematangan dan kesediaan yang berbeza-beza dalam kalangan penerbit tersenarai, keperluan yang dipertingkatkan itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

Penerbit tersenarai di Pasaran Utama yang mempunyai permodalan pasaran RM2 bilion atau lebih akan mula menggunakan piawaian pendedahan kemampanan IFRS untuk tempoh pelaporan tahunan bermula 1 Jan 2025.

Manakala penerbit tersenarai Pasaran Utama yang lain akan berbuat demikian pada 1 Jan 2026, dengan syarikat tersenarai Pasaran ACE perlu mematuhinya sebelum 1 Jan 2027.

“Sementara menunggu penerimagunaan sepenuhnya, penerbit tersenarai boleh menggunakan piawaian pendedahan kemampanan IFRS dengan pelepasan peralihan yang menumpukan kepada pendekatan mengutamakan iklim selama dua tahun kewangan penuh bagi penerbit tersenarai di Pasaran Utama dan tiga tahun kewangan penuh untuk syarikat tersenarai Pasaran ACE,” katanya.

Sebagai tambahan kepada kemas kini tersebut, bursa juga memperkenalkan pindaan untuk meningkatkan penyertaan pemegang saham dalam mesyuarat agung dengan mensyaratkan mesyuarat secara peribadi atau hibrid mulai 1 Mac, 2025.

Ia juga bertujuan untuk memperkukuh akauntabiliti penasihat penyenaraian dengan mewajibkan mereka dinamakan dalam dokumen awam penerbit tersenarai untuk tempoh tertentu, bermula 2 Jan, 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan