EKONOMI > BERITA

MALAYSIA TERUS DAHULUI INDEKS PUSAT DATA SERANTAU - KNIGHT FRANK MALAYSIA

23/12/2024 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Malaysia telah menduduki tempat pertama dalam kalangan negara lain di Asia Tenggara dalam Indeks Peluang Pusat Data SEA-5 Knight Frank untuk tahun kedua berturut-turut dengan penggunaan tahunan sebanyak 429 megawatt (MW).

Dalam Laporan Penyelidikan Pusat Data 2024, firma perundingan hartanah global itu berkata pertumbuhan didorong oleh pelaburan strategik daripada syarikat teknologi terkenal seperti Microsoft, Amazon Web Services (AWS), Google dan Oracle berjumlah US$23.3 bilion (US$1 = RM4.50).

Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia Group, Keith Ooi berkata usaha strategik Malaysia dalam infrastruktur digital bukan sekadar rangka tindakan untuk rantau ini tetapi menyeru pemain global merebut peluang tersebut.

"Komitmen Malaysia terhadap inovasi teknologi dan kemampanan menjadikannya destinasi pilihan untuk pelaburan pusat data dan model untuk daya tahan ekonomi," kata Ooi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata negara meraikan kejayaan dalam pelaburan pusat data, mengukuhkan kedudukannya sebagai hab digital terkemuka di rantau ini.

Menerusi pelaburan digital berjumlah RM141.72 bilion diperoleh dalam tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini, tiga kali ganda jumlah keseluruhan 2023, Malaysia sedang mentakrifkan semula peranannya dalam landskap teknologi global, dipacu oleh inovasi dan pertumbuhan strategik dalam ekonomi digital.

Kenyataan itu berkata kadar pengambilan tahunan yang mengagumkan sebanyak 429 MW, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus untuk 2025, infrastruktur yang kukuh, pelaburan strategik dan dasar berpandangan jauh, membezakannya dengan negara lain.

Penguasaan itu mengukuhkan kelebihan daya saing Malaysia dan juga menandakan kesediaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang dalam ekonomi digital.

“Langkah proaktif kerajaan Malaysia termasuk Laluan Lorong Hijau dan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pusat data berdaya tahan.

"Pengurangan ketara dalam garis masa untuk bekalan elektrik dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB), inisiatif ini meningkatkan kesediaan infrastruktur Malaysia dan menekankan komitmennya terhadap kemampanan dan kemajuan teknologi," kata kenyataan itu.

Ia juga berkata kepimpinan Malaysia dalam TBB dan pusat data mampan telah menetapkan duluan untuk pertumbuhan teknologi bertanggungjawab apabila dunia mengamalkan inovasi hijau dengan menyatakan bahawa Johor telah muncul sebagai pemain utama mengatasi Lembah Klang dalam kapasiti teknologi maklumat dan memacu urus niaga tanah untuk pembangunan pusat data berskala besar.

“Dengan mencapai keseimbangan antara rangka kerja kawal selia, kemajuan teknologi dan pengambilan tanah strategik, Malaysia berada pada kedudukan baik bagi menerajui pertumbuhan pusat data yang mampan di seluruh rantau ini,” katanya.

Kerajaan, penggiat industri dan kerjasama institusi pendidikan akan menjadi penting untuk memupuk ekosistem pusat data ketika Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor penting ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan