KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) telah bersetuju dengan Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Land Sdn Bhd untuk membangunkan tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia.
Ia adalah tapak bekas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi, di sini.
Perjanjian untuk memperoleh tanah itu dibuat pada 4 Oktober, 2024, kata KLCCH dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media mengenai anak syarikatnya, KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) membeli tanah seluas 196.67 hektar di Bandar Malaysia pada harga lebih RM10 bilion.
KLCCP dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata KLCCP bukan pembeli tanah seperti yang dilaporkan oleh portal berita kewangan, The Edge.
“KLCCP mahu memaklumkan bahawa kami bukan pihak yang terlibat dalam urus niaga berkenaan. Kami bukan pembeli tanah seperti yang dilaporkan,” katanya.
Bandar Malaysia adalah projek pembangunan berskala besar disasarkan untuk menjadi hab bandar bercampur dengan kemudahan kediaman, komersial dan berorientasikan transit (pembangunan bandar yang memperluas ruang dan jumlah kawasan berpenduduk, perniagaan dan ruang lapang untuk jarak berjalan dengan pengangkutan awam).
KLCCH berkata ia akan melaksanakan pembangunan berdasarkan daya maju komersial dalam tempoh jangka panjang.
"Pembangunan ini dirancang sebagai hab perniagaan antarabangsa dan bandar yang boleh didiami dan inklusif untuk komuniti," katanya.
Dengan dua daripada pembangunan paling ikonik di negara ini, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Putrajaya, KLCCH berkata bahawa ia telah membuktikan visi strategik dalam pembangunan bandar berskala besar, menetapkan standard dalam perancangan induk dan kelestarian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial