EKONOMI > BERITA

KOKO, LADA KEKAL BERDAYA TAHAN PADA 2024, UNJURAN POSITIF BAGI TAHUN DEPAN

25/12/2024 11:20 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Koko dan lada meneruskan prestasi peningkatannya pada 2024, didorong oleh permintaan global yang ketara selain usaha kerajaan dalam melonjakkan pertumbuhan komoditi berkenaan.

Kedua-dua komoditi itu juga kekal sebagai penyumbang utama terhadap ekonomi Malaysia dengan mencatat peningkatan ketara dari segi nilai eksport pada tahun ini.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata eksport lada Malaysia misalnya mencecah RM86.4 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 berbanding RM80.2 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu, Lembaga Koko Malaysia (LKM) pula berkata hasil eksport biji dan produk koko juga melonjak dan mencecah RM12.09 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024, berbanding RM8.20 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh peningkatan output pengeluaran serta pengukuhan nilai ringgit pada 2024.

 

Lonjakan harga koko pada 2024

LKM berkata salah satu pemacu utama peningkatan prestasi pada 2024 itu adalah disebabkan oleh lonjakan harga biji koko dalam julat RM20,000 hingga RM27,000 satu tan - meningkat lebih dua kali ganda daripada purata harga RM10,000 satu tan pada tahun lepas.

Peningkatan harga itu telah mencetuskan semula minat belian baharu dalam kalangan pemilik ladang serta pekebun kecil terhadap penanamannya, sekali gus mendorong usaha pemulihan ladang koko sedia ada bagi meningkatkan pengeluaran.

"Pendapatan eksport daripada produk separa siap koko dan coklat mencecah RM10.3 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2024, melepasi jumlah keseluruhan tahun lepas sebanyak RM8.2 bilion," kata LKM kepada Bernama.

Namun di sebalik itu, LKM berkata cabaran industri, terutama kebergantungan yang ketara ke atas biji koko import, malah 99 peratus daripada yang diproses oleh pengisar tempatan adalah import bernilai RM12.6 bilion dari Januari hingga September 2024.

“Bagi menangani kebergantungan ini, LKM melancarkan misi penyumberan biji pada awal tahun ini," katanya.

 

Pematuhan EUDR cetus kebimbangan  

LKM turut menyuarakan kebimbangan mengenai impak potensi Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) ke atas eksport koko, khususnya ke pasaran EU.

Bagi memenuhi ketetapan EUDR itu, pihak LKM telah membangunkan sistem penjejakan seawal peringkat penuaian sehingga pengeluaran coklat dan melaksanakan pelbagai program untuk menyokong pengeluaran biji koko premium.

Seiring kerjasama dengan Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MYSA), LKM bertindak memanfaatkan data geospatial dan teknologi penderiaan jauh bagi meningkatkan kecekapan pemantauan ladang koko.

Mengulas pengeluaran biji koko yang rendah, LKM berkata ia akan meneruskan usaha membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti masing-masing dengan memberi nasihat serta latihan penerimagunaan teknologi/ladang pintar dan amalan pertanian baik selain pengagihan input-input pertanian.

Dari segi prosedur import di pelabuhan, LKM juga akan terus berusaha memudahcara pengimportan biji koko dengan melibatkan pihak berwajib dan pelabuhan lain.

Agensi itu turut menyifatkan kenaikan harga biji koko kering menguntungkan penanam koko walaupun menyebabkan harga produk koko seperti coklat melonjak sehingga tiga kali ganda.

“Namun, dengan adanya minat pengguna terhadap coklat premium seperti coklat asal tunggal dan mempunyai fungsi kesihatan, permintaan pengguna terhadap produk berasaskan koko itu akan kekal tinggi walaupun harganya meningkat,” katanya.

 

Impak pengukuhan nilai ringgit

Dalam pada itu, KPK turut mengumumkan bahawa pengukuhan nilai ringgit boleh mengurangkan kos pengimportan pertanian, sekali gus memberi manfaat kepada penanam koko di Malaysia.

Pengurangan kos import itu akan menurunkan kos pengeluaran bagi pekebun kecil sambil memacu margin keuntungan mereka.

Jika diamati, perubahan nilai ringgit tidak akan memberi kesan langsung terhadap pendapatan pekebun kecil memandangkan pengeluaran koko kebanyakannya bagi tujuan penggunaan pasaran domestik untuk memenuhi permintaan kilang pemprosesan koko.

Keadaan turun naik harga koko di peringkat ladang di Malaysia juga tidak dipengaruhi secara langsung oleh perubahan dalam kadar pertukaran asing memandangkan ianya dipacu terutamanya bekalan di peringkat global selain permintaan biji koko.

 

Permintaan lada terus meningkat

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pasaran lada bagi Jepun sahaja mewakili 50 peratus daripada produk lada negara ini.

“Jepun adalah pasaran tradisional kita berikutan lada Malaysia mempunyai pelbagai jenis kepedasan berbanding negara lain.

“Selain Jepun, pasaran eksport utama lain adalah China, Korea Selatan dan Sweden,” katanya.

Nilai perdagangan lada dengan Singapura juga memberangsangkan, meningkat kepada RM8.20 juta atau 368.1 tan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding RM5.86 juta atau 288.44 tan dalam tempoh sama sebelumnya.

"Singapura adalah rakan dagang penting bagi sektor lada dan mempunyai potensi pertumbuhan yang besar berdasarkan hubungan ekonomi serta perdagangan dengan Malaysia selain faktor geografi," katanya.

Chan berkata penanaman lada di Malaysia juga meningkat kepada 8,215 hektar pada 2024 daripada 8,172 hektar pada tahun lepas.

"Bilangan petani juga meningkat kepada 39,137 pada tahun ini daripada 38,986 orang pada 2023. Ini hanya menyerlahkan lagi pertumbuhan pesat industri lada berikutan usaha pembangunan kerajaan menerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB)," katanya.

 

Sokongan kerajaan terhadap lada 

Kerajaan menerusi MPB misalnya, sedang melaksanakan beberapa program dinamik dan bersepadu, projek dan bantuan membabitkan pekebun kecil serta usahawan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata ini akan memastikan kemampanan industri lada selain memacu pembangunan industri huluan dan hiliran.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi membantu petani lada melalui Skim Penanaman Lada Baharu dan Skim Penanaman Lada Matang, sekali gus meringankan beban kewangan.

"Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM3 juta untuk melaksanakan projek lada yang berkualiti premium manakala RM5 juta lagi diperuntukkan untuk meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing," katanya. 

 

Prospek lada, koko tahun depan 

Harga biji koko kering berkemungkinan kekal tinggi pada 2025 yang dapat mendorong petani meningkatkan lagi pengeluaran koko serta estet bagi tujuan penanaman koko.

Pengeluaran koko akan meningkat susulan lebih banyak input pertanian diberikan kepada kira-kira 3,295 penanam koko yang merangkumi kawasan seluas 2,126 hektar pada 2024-2026.

LKM akan turut mengusahakan perluasan kira-kira 360 hektar kawasan penanaman koko baharu pada 2025 susulan daripada 60 hektar kawasan koko baharu di Kuala Tahan, Pahang selain pemulihan 50 hektar kawasan koko terbiar dan 260 kawasan penanaman koko baharu dalam sektor perladangan. 

Dalam usaha promosi koko Malaysia dan produknya, LKM akan menganjurkan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) 2025 pada 24-27 Mei 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu. 

Bagi lada pula, KPK mengunjurkan permintaan lada global akan meneruskan trajektori peningkatannya pada 2024 dan 2025 dengan pertumbuhan itu didorong oleh potensi penggunaan lada dalam pelbagai sektor, termasuk farmaseutikal dan kosmetik yang turut memacu trend positif berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan