KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), melalui peruntukan awal RM1 bilion menerusi Dana Impak, hari ini mengumumkan dua pelaburan strategik untuk memacu pertumbuhan dan inovasi yang lebih besar dalam teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan pembangunan kapasiti di Malaysia, serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Khazanah mengumumkan pelaburan dalam Cambrian Fund, melambangkan kerjasama dengan pengasas bersama Vitrox Corporation Bhd, juara Malaysia dalam peralatan dan penyelesaian pemeriksaan penglihatan automatik, serta Southern Capital Group, sebuah firma ekuiti swasta serantau yang terkemuka dengan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Cambrian Fund ditubuhkan untuk menyokong usahawan dan PKS yang bertumpu kepada teknologi IR4.0 seperti penglihatan mesin, AI dan robotik.
Dana itu akan memainkan peranan dalam mentransformasikan ekosistem semikonduktor dan pengeluaran maju dalam dan luar Malaysia dengan membuka peluang pertumbuhan, menggalakkan penyertaan tempatan yang lebih besar dan menyokong usahawan dan PKS yang inovatif untuk berkembang dan bersaing di peringkat serantau.
Seiring dengan itu, matlamat dana tersebut adalah memanfaatkan pengalaman para pemimpin industri Malaysia melalui jalinan kerjasama untuk mendapatkan kepakaran, bimbingan dan akses kepada rangkaian untuk menyokong pelaburan Cambrian Fund.
Cambrian Fund telah mencatatkan penutupan pertama sebanyak RM100 juta dengan Khazanah sebagai satu daripada pelabur utama.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia merupakan penggerak utama ekonomi negara, menyumbang 40 peratus kepada eksport negara pada 2023.
Beliau berkata dengan semikonduktor sebagai terasnya, Malaysia kini adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, menguasai 13 peratus daripada bahagian pasaran global untuk pembungkusan, pemasangan, dan ujian.
“Melalui pelaburan Dana Impak daripada Khazanah, Cambrian Fund selaras dengan usaha kerajaan dalam memupuk pertumbuhan yang lebih besar, inovasi, pembangunan bakat tempatan, dan integrasi ke dalam rantaian bekalan global, sambil memperkukuh hubungan pasaran antarabangsa dan mencipta peluang untuk syarikat Malaysia berkembang secara global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ViTrox, Datuk Chu Jenn Weng berkata pihaknya amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada Khazanah melalui inisiatif Dana Impak.
Beliau berkata sokongan itu yang membolehkan pihaknya memupuk gelombang baharu usahawan dan PKS tempatan yang memacu inovasi IR4.0 -- merangkumi penglihatan mesin, AI dan robotik, serta menyokong kemajuan dalam industri semikonduktor dan seterusnya.
“Dengan memupuk kerjasama yang erat antara pemimpin industri, pelabur teroka dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, saya yakin kita dapat membina ekosistem teknologi tempatan yang berdaya tahan dan berkembang maju.
“Bersama-sama, kita akan mengangkat kedudukan global Malaysia dalam teknologi maju dan melahirkan juara bertaraf dunia dalam sektor teknologi,” katanya.
Pengarah Urusan Southern Capital, Kenneth Tan berkata berkata pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan pengasas bersama ViTrox bagi membantu mendanai generasi baharu pemimpin teknologi di Malaysia dan seterusnya.
“Kehadiran Khazanah sebagai sebahagian daripada penutupan pertama kami mengesahkan strategi Cambrian Fund yang memanfaatkan pengetahuan mendalam tentang industri dan rangkaian untuk mengenal pasti, melabur dan mempercepat perkembangan syarikat-syarikat berpotensi tinggi dalam beberapa sektor paling menarik dalam ekonomi global,” katanya.
Bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia, Khazanah mengumumkan pelaburan dalam Syntiant Corp (Syntiant), sebuah syarikat “edge AI” yang berpusat di Irvine, California dan diiktiraf secara global sebagai peneraju dalam menyediakan penyelesaian perkakasan dan perisian inovatif untuk penerapan “edge AI”.
Silikon dan model pembelajaran mesin yang dibina khusus oleh Syntiant digunakan secara global merentasi pelbagai aplikasi pengguna dan industri, daripada fon telinga hingga kenderaan.
Komitmen Syntiant untuk menubuhkan pusat R&D AI bertaraf dunia di Malaysia adalah manfaat strategik utama pelaburan Khazanah.
Pusat itu akan memacu inovasi dan pembangunan teknologi, memberikan sumbangan kepada hasrat Malaysia untuk meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai semikonduktor serta mengambil bahagian dalam industri AI global yang sedang berkembang.
Amirul Feisal berkata ia menggariskan komitmen Khazanah untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang maju di Malaysia.
“Dengan menyokong pengembangan Syntiant di Malaysia, kami meningkatkan keupayaan teknologi negara sambil mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.
“Usaha ini selaras dengan keutamaan strategik kami untuk memacu kemajuan ekonomi dan teknologi dalam negara,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Syntiant, Kurt Busch berkata pihaknya amat berterima kasih kepada Khazanah dan rakan kewangan yang lain, yang telah membolehkan Syntiant melaksanakan strategi pertumbuhan di samping mencipta nilai yang tiada tandingan untuk pelanggan global.
“Dengan menubuhkan pusat R&D AI bertaraf dunia di Malaysia, kami bukan sahaja mengembangkan jejak kami malah juga melabur dalam ekosistem teknologi yang dinamik di Malaysia.
“Pelaburan ini menandakan saat penting bagi Syntiant ketika kami mengintegrasikan teknologi mikrofon MEMS ke dalam penyelesaian berasaskan AI kami untuk membawa antaramuka (interface) pintar generasi berikutnya,” katanya.
Melalui kerjasama dengan Khazanah dan beberapa pelabur teknologi terkemuka, Syntiant akan menggunakan hasil pengumpulan dana untuk memperoleh 100 peratus divisyen mikrofon MEMS pengguna (CMM) daripada Knowles Corporation (Knowles), yang mempunyai operasi pemasangan dan pengujian yang besar di Malaysia.
Divisyen CMM Knowles merupakan pengeluar utama mikrofon sistem mikro-elektromekanikal (MEMS) SiSonic™ yang berprestasi tinggi, yang penting untuk suara dan audio dalam telefon pintar, pembesar suara pintar, peranti boleh pakai, serta aplikasi lain dalam industri automotif dan peralatan rumah.
Pengambilalihan itu membolehkan Syntiant menawarkan penyelesaian lengkap kepada pelanggan global untuk aplikasi audio dan suara yang sentiasa aktif.
Pada 2023, divisyen CMM membuka peluang pekerjaan kepada lebih 700 pekerja di Malaysia, yang bakal menikmati manfaat daripada penciptaan nilai pelaburan itu.
Inisiatif Khazanah dalam sektor semikonduktor dan pengeluaran maju melalui Dana Impak selaras dengan dasar ekonomi negara seperti Program GEAR-uP, rangka kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang menyokong Strategi Semikonduktor Nasional untuk mengukuhkan ekosistem tempatan dan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.
Ia juga selaras dengan strategi Memajukan Malaysia yang berasaskan rangka kerja “A Nation That Creates”, yang bermatlamat meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab ke atas kandungan, ketepatan dan pendapat yang terdapat dalam artikel ini)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial