Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka meneruskan trajektori peningkatannya pada minggu depan, dipacu oleh aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun selain sokongan sentimen positif pada masa ini, kata UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd.
Ketua Penyelidikan Pelaburannya Mohd Sedek Jantan juga kekal optimis indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berupaya mencecah paras menghampiri unjuran firma itu pada 1,650 bagi tahun ini.
Beliau berkata ini berikutan pergerakan indeks pada minggu ini yang mengakhiri dagangan melepasi paras rintangan 1,620.
“Jangkaan itu diperkukuhkan lagi dengan unjuran pelabur asing akan kembali ke pasaran selepas cuti Krismas selain faktor-faktor positif seperti prospek ekonomi global yang lebih baik serta kemungkinan pelonggaran dasar monetari,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek juga menyifatkan prestasi kukuh pasaran itu baru-baru ini, didorong terutamanya oleh saham-saham tenaga dan utiliti yang dipacu oleh aktiviti memperelok akaun akhir tahun oleh kalangan pengurus portfolio.
“Aliran peningkatan itu berlaku tanpa penyertaan pelabur asing, sekali gus menekankan daya tahan pemacu pasaran domestik,” katanya.
Dalam minggu dagangan singkat susulan cuti yang baru berakhir, indeks penanda aras FBM KLCI menyaksikan aliran meningkat di tengah-tengah minat belian berterusan yang menjejaki sentimen positif pasaran Wall Street serta prestasi pasaran serantau.
Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI menokok sebanyak 36.73 mata kepada 1,628.12 daripada 1,591.41 dalam minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas meningkat 258.81 mata kepada 12,481.75, Indeks FBMT 100 menokok 256.57 mata kepada 12,165.17 dan FBM Emas Shariah melonjak 267.28 mata kepada 12,489.09.
Selain itu, Indeks FBM 70 mengukuh sebanyak 328.20 mata kepada 18,705.67 manakala Indeks FBM ACE meraih 81.52 mata kepada 5,350.17.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 338.61 mata kepada 19,041.96, Indeks Perladangan meraih 105.74 mata kepada 7,603.01 dan Indeks Penjagaan Kesihatan naik 41.54 mata kepada 2,378.95.
Indeks Teknologi pula menambah 1.68 mata kepada 65.18, Indeks Tenaga menokok 20.54 mata kepada 824.65 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 4.41 mata kepada 174.67.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 9.72 bilion unit bernilai RM7.52 bilion berbanding 15.30 bilion unit bernilai RM13.97 bilion pada minggu sebelumnya.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan susut kepada 5.01 bilion unit bernilai RM6.71 bilion daripada 8.10 bilion unit bernilai RM12.79 bilion pada minggu lepas.
Jumlah waran turun kepada 1.89 bilion unit bernilai RM243.54 juta daripada 4.31 bilion unit bernilai RM450.37 juta sebelum ini.
Bagi Pasaran ACE, jumlah dagangannya susut kepada 2.10 bilion saham bernilai RM565.86 juta berbanding 2.22 bilion saham bernilai RM731.38 juta pada minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial