EKONOMI > BERITA

EKONOMI GIG BERKEMBANG PADA 2024 DI TENGAH-TENGAH DESAKAN UNTUK PERLINDUNGAN PEKERJA

29/12/2024 10:13 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Ekonomi gig Malaysia telah meneruskan trajektori menaik pada 2024, dengan bilangan pekerja yang bekerja sendiri meliputi pekerja gig melebihi tiga juta setakat September.

Pertumbuhan itu mencerminkan penerimaan dan pergantungan yang semakin meningkat terhadap kerja-kerja gig sebagai sumber pendapatan berdaya maju, fleksibiliti yang ditawarkannya dan ekonomi digital yang berkembang.

Ekonomi gig juga telah menimbulkan lebih banyak gesaan untuk skim perlindungan yang lebih baik kerana masih ramai lagi pekerja gig yang berada di luar perlindungan undang-undang buruh.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga telah mengesahkan kemasukan pekerja gig dalam kategori pekerja yang bekerja sendiri, sekali gus menunjukkan definisi yang lebih luas dan pengiktirafan kerja gig dalam pasaran buruh.

Menurut Laporan Kaji Selidik Tenaga Buruh bagi suku ketiga 2024, bilangan pekerja yang bekerja sendiri telah meningkat kepada 3.09 juta pada suku itu daripada 2.93 juta pada suku pertama 2023.

Bercakap kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonometrik dan Perangkaan Perniagaan, Monash University Malaysia, Dr Nur Syazwani Mazlan berkata pengembangan ekonomi gig merupakan petunjuk positif bagi kedinamikan ekonomi dan potensi pertumbuhan selanjutnya untuk beberapa tahun akan datang.

 

Langkah Hadapi Cabaran

Walaupun pertumbuhan menggalakkan namun, ekonomi gig menghadapi beberapa cabaran.

Menurut pengantara teknologi sumber manusia, Qwork Malaysia, ramai pekerja gig masih kekurangan perlindungan buruh yang penting di bawah undang-undang buruh, seperti gaji minimum, had waktu bekerja dan cuti berbayar.

Memandangkan ketepuan pasaran dan keperluan perundangan yang berkembang, strategi tangkas diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan dalam sektor itu.

Sebagai maklum balas terhadap cabaran itu, kerajaan Malaysia sedang dalam proses memperkenalkan langkah untuk menyokong pekerja gig, termasuk cadangan Rang Undang-Undang Ekonomi Pekerja Gig dan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Pegawai Eksekutif Qwork Muna Munirah memuji pendirian proaktif kerajaan dengan berkata penubuhan SEGiM dan perundangan akan datang akan membantu memastikan ekonomi gig yang lebih mampan dan inklusif.

Pada masa sama, Grab Malaysia turut mengalu-alukan keputusan kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Ekonomi Pekerja Gig, kerana percaya tindakan itu akan membolehkan perundingan yang lebih komprehensif dengan pihak berkepentingan, termasuk syarikat platform, pekerja gig, ahli akademik dan pakar industri.

“Kami percaya pendekatan inklusif dan berperingkat ini akan memastikan pelbagai keperluan ekonomi gig dapat dipenuhi.

“Di samping itu, ia juga meminimumkan potensi cabaran seperti kesukaran penerimaan dasar, ketidakcekapan dalam pelaksanaan dan pematuhan, halangan kemasukan yang lebih tinggi untuk pekerja gig, gangguan ke atas perniagaan serta peningkatan kos  bagi pengguna,” jelasnya.

 

Pertingkat Keselamatan Sosial, Kemahiran

Bagi meningkatkan lagi ekonomi gig, Nur Syazwani mencadangkan kerajaan memperluas skim keselamatan sosial, seperti skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), untuk melindungi lebih ramai pekerja gig.

Beliau juga mengesyorkan program latihan tambahan yang menumpukan kemahiran digital dan celik kewangan untuk membantu pekerja gig meningkatkan kebolehpasaran masing-masing selain menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Selain itu, beliau mencadangkan pembangunan rangka kerja kawal selia yang jelas untuk menentukan hak dan tanggungjawab pekerja dan platform gig, serta akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan kewangan seperti pinjaman mikro dan insurans yang disesuaikan.

 

Prospek pada 2025

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata prospek ekonomi gig Malaysia kekal positif, memandangkan ia berdaya tahan dan boleh menyesuaikan, disokong oleh kecanggihan teknologi dan permintaan untuk perkhidmatan yang fleksibel, kata k

Bagaimanapun, beliau berkata kepentingan pembaharuan sistemik untuk mengimbangi hak pekerja dengan pertumbuhan sektor, termasuk pengenalan Rang Undang-undang Ekonomi Pekerja Gig dan perlindungan sosial yang fleksibel.

Menurut Qwork Malaysia sektor baharu seperti tutor dalam talian dan pemasaran digital, yang, bersama-sama dengan peningkatan integrasi teknologi, dijangka memacu lagi pertumbuhan ekonomi gig.

Nur Syazwani berkata apabila perniagaan terus bergantung kepada penyelesaian digital, permintaan untuk peranan bebas dalam bidang seperti penciptaan kandungan dan sokongan teknologi maklumat dijangka meningkat.

“Secara keseluruhan, ketika ekonomi gig di Malaysia bersedia untuk pertumbuhan berterusan, menyelesaikan masalah yang menjadi cabaran seperti jaminan pekerjaan, kestabilan pendapatan dan ketepuan pasaran akan menjadi penting untuk kemampanannya.

“Berlandaskan dasar yang betul, ekonomi gig berpotensi menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan Malaysia serta menawarkan peluang pekerjaan yang inklusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan