EKONOMI > BERITA

MOMENTUM KUKUH EKONOMI MALAYSIA DIJANGKA BERTERUSAN KE 2025, KDNK BERKEMBANG 6 PERATUS

01/01/2025 10:14 AM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin and Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Bersandarkan kepada prestasi kukuh pada 2024, ekonomi Malaysia dijangka terus mengekalkan pertumbuhan positifnya pada 2025, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur mencecah sehingga 6.0 peratus, kata ahli ekonomi.

Walaupun ketidaktentuan global, ahli ekonomi berkata prospek positif ekonomi Malaysia itu disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh, sektor eksport utama, usaha kemampanan, dan peranan negara  sebagai hab pelaburan yang semakin aktif.

Ketua ahli ekonomi global Juwai IQI Shan Saeed, yang optimis KDNK boleh berkembang antara 5.0 hingga 6.0 peratus berkata corak penggunaan dan pelaburan dijangka kekal kukuh pada 2025, sekali gus dapat memacu kestabilan makroekonomi.

Beliau turut memuji langkah-langkah proaktif yang diambil kerajaan untuk meningkatkan pelaburan langsung (FDI) asing dan domestik yang menyaksikan Malaysia pantas menjadi pusat data dan hab teknologi serantau selain mempunyai ekosistem semikonduktor yang berjaya.

"Keyakinan pelabur tempatan juga sangat kukuh, dan itulah sebabnya kita mampu menarik FDI ke negara ini," katanya kepada Bernama.

.Penggunaan swasta dan pelaburan swasta yang dinamik secara kolektif menyumbang lebih 80 peratus kepada KDNK negara.

Prof Dr Yeah Kim Leng, felo kanan dan pengarah Program Pengajian Ekonomi di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia di Universiti Sunway, berkata keyakinan berterusan pengguna disokong oleh peningkatan pendapatan, kadar pengangguran rendah dan sokongan pendapatan bersasar kerajaan, akan merangsang penggunaan swasta.

“Pada masa yang sama, pelaburan swasta yang kukuh, yang berkembang sebanyak 12.1 peratus pada tiga suku pertama 2024, dijangka kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.

Yeah berkata Malaysia juga mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan tekanan luaran, termasuk tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dasar pengembangan fiskal yang berterusan akan membawa kepada perbelanjaan kerajaan, selain perbelanjaan sektor swasta untuk meningkatkan kapasiti produktifnya.

"Status pekerjaan penuh akan memastikan pengguna mengekalkan trajektori positif mereka dalam pertumbuhan perbelanjaan, walaupun mereka akan lebih berhemat dalam berbelanja memandangkan kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Mohd Afzanizam berkata di peringkat antarabangsa, langkah penurunan kadar faedah di beberapa  ekonomi utama akan memberikan sokongan kepada permintaan global seterusnya dapat mengekalkan pertumbuhan eksport Malaysia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan KDNK sebenar Malaysia berkembang 4.8 peratus tahun ini daripada 4.4 peratus pada April dan mengekalkan unjuran pertumbuhan 2025 pada 4.4 peratus.

Ekonomi global dijangka berkembang sebanyak 3.2 peratus pada 2025, manakala pertumbuhan ASEAN diunjur tumbuh teguh pada 4.7 peratus cengan rantau itu dilhat berjaya merebut peluang eksport daripada tarif China dan Amerika Syarikat (AS). 

Awal tahun ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata KDNK Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus berikutan prestasi kukuh ekonomi negara disokong oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah.

KDNK Malaysia meningkat 4.2 peratus, 5.9 peratus dan 5.3 peratus masing-masing pada suku pertama, kedua dan ketiga 2024.

Sementara itu, pertumbuhan KDNK negara bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024 adalah sebanyak 5.2 peratus, meningkat daripada 3.8 peratus dalam tempoh yang sama pada 2023.

Angka bagi suku keempat dan tahun penuh KDNK 2024 dijadual diumumkan pada 14 Februari 2025.

Sementara itu, ahli ekonomi juga melihat kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 sebagai platform untuk meningkatkan kedudukan global negara.

Yeah, yang juga selaku presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) berkata pemangkin utama termasuk projek penting seperti Zon Ekonomi Khas Singapura-Johor dan pengembangan pusat data serta industri berintensif teknologi, dijangka dapat menarik aliran masuk pelaburan yang besar.

“Dengan penglibatan kukuh dalam perjanjian perdagangan serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), negara dapat memperkukuh kepelbagaian pasaran dan daya tahan perdagangannya,” katanya.

Yeah berkata akan ada peluang untuk memanfaatkan peluang perdagangan dan pelaburan baharu bagi syarikat Malaysia sambil menggerakkan kepentingan bersama ekonomi ASEAN.

"Penerajuan ASEAN oleh Malaysia bukan sahaja akan meningkatkan pengaruh ekonomi rantau ini tetapi juga meletakkan negara sebagai titik tumpuan untuk pelaburan global," katanya.

Namun begitu, Yeah berkata terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani secara berhemat terutamanya berkaitan kawasan geopolitik yang kompleks seperti krisis Myanmar dan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Beliau juga menegaskan ASEAN perlu mengekalkan perpaduan dan pendirian neutralnya di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit antara AS-China.

“Malaysia mesti menggalakkan dialog dan konsensus yang membina untuk melindungi perpaduan ASEAN dan mencegah perpecahan dalam sistem perdagangan global,” katanya.

Shan berkata ASEAN 2025 akan membawa kesan ekonomi dan kewangan yang bermakna kepada semua pemain yang terlibat.

“Malaysia akan terus menyokong komuniti ekonomi ASEAN untuk menjadikan rantau ini lebih berdaya tahan dan mampu muncul sebagai blok serantau yang lebih kukuh bagi memacu pertumbuhan ekonomi global,” katanya.

Shan berkata beliau menjangkakan Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada pergerakan syarikat global, seperti pemindahan syarikat China ke negara-negara ASEAN.

.-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan