KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Persatuan Emas Malaysia (MGA) menggesa pemberhentian serta-merta dan larangan import, pembuatan dan penjualan barangan “perak bersadur emas” dan produk-produk serupa yang disadur emas.
Dalam kenyataannya hari ini, MGA menyifatkan lambakan produk sedemikian dalam negara ini berkemungkinan memberi impak besar terhadap integriti pasaran logam berharga Malaysia, mencetuskan kekeliruan harga dan menjejaskan permintaan terhadap emas tulen serta keseluruhan dinamik logam berharga itu.
MGA berkata produk-produk berkenaan yang menyamai barangan kemas emas tulen berikutan ketebalan lapisan saduran emas yang turut menyukarkan pengguna membezakannya daripada emas asli tanpa penilaian profesional.
“Salah anggap ini menyebabkan risiko kerugian kewangan apabila pengguna mungkin tidak menyedari telah membeli produk palsu dan menganggap telah membeli emas asli,” kata persatuan itu.
Sehubungan itu, Presiden MGA Datuk Wira Louis Ng menggesa kalangan pemain industri, pengilang, pengimport, peruncit, pengedar dan terutama agensi penguatkuasaan untuk secara rasmi mengkategorikan perak saduran emas dan produk serupa (dengan teras dalaman bukan emas) sebagai emas palsu dan barangan yang dilarang.
“Kami berharap pihak berkuasa dari segi penguatkuasaan Malaysia termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenakan peraturan lebih ketat bagi melarang penjualan, dagangan dan tukaran produk-produk palsu ini, termasuk di platform e-dagang,” katanya.
Ng juga menegaskan kepentingan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih ketat bagi melindungi hak pengguna.
MGA berkata selepas membuat pertimbangan dan perbincangan dengan pemain utama industri, termasuk pengilang, peruncit, pengendali pajak gadai, Ar-Rahnu dan semua pihak berkepentingan lain, persatuan itu sebulat suara telah memutuskan untuk menolak produk terbabit dan mematuhi sepenuhnya langkah-langkah bagi menghentikan pengeluaran, pengimportan dan penjualannya.
“Komitmen ini bagi memastikan pengeluar tidak akan menghasilkan produk sedemikian manakala peruncit tidak akan menjualnya di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial