EKONOMI > BERITA

MAJLIS DIGITAL MALAYSIA-INDIA DIRASMIKAN UNTUK MEMANGKIN PERDAGANGAN DIGITAL DUA NEGARA

10/01/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR,  10 Jan (Bernama)-- Majlis Digital Malaysia-India (MIDC) telah dirasmikan untuk menerajui inisiatif dalam perdagangan digital, pertukaran teknologi termasuk mobiliti bakat antara Malaysia dan India.

Ini berikutan pertemuan antara Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Elektronik dan Teknologi Maklumat India, Ashwini Vaishnaw semasa Pravasi Bhartiya Divas (PBD) ke-18 yang diadakan di Bhubaneswar, India, awal minggu ini.

Gobind melalui satu satu kenyataan hari ini berkata inisiatif penting ini mewakili lonjakan ketara dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan India, mengukuhkan hubungan budaya sambil membuka potensi penuh inovasi digital selain peluang ekonomi kedua-dua negara.

“Melalui MIDC, kami mahu memupuk ekosistem yang menyokong pertumbuhan bersama, pembangunan bakat termasuk kemajuan teknologi untuk Malaysia dan India,” katanya. 

Kementerian Digital berkata melalui majlis itu, Malaysia dan India akan berusaha dalam berkongsi pengalaman serta bertukar-tukar kepakaran teknikal, dasar dan pendekatan kawal selia yang berkaitan dengan teknologi digital termasuk meneroka kerjasama perkongsian perniagaan ke perniagaan antara persatuan industri.

Ia juga akan melihat ke arah usaha mempertingkatkan kerjasama antara pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana, selain meningkatkan kemahiran dan melatih semula bakat dalam teknologi digital baru muncul.

“Mesyuarat sulung MIDC, yang dijangka diadakan menjelang separuh pertama tahun ini, akan meletakkan asas bagi program dan inisiatif yang boleh diambil tindakan,” kata kementerian itu.

PBD ke-18 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam.

 Acara yang mengiktiraf sumbangan masyarakat India seberang laut kepada pembangunan India, menarik penyertaan ahli diaspora India dari lebih 50 negara tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan