EKONOMI > BERITA

PERJANJIAN PERDAGANGAN MALAYSIA AKAN PERTINGKATKAN PELABURAN ASEAN - PENGANALISIS

11/01/2025 03:21 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam pelbagai perjanjian perdagangan unilateral boleh menarik lebih ramai pelabur ke negara itu dan memberi manfaat kepada negara ASEAN yang lain, kata seorang penganalisis ekonomi.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata  Malaysia adalah satu-satunya anggota ASEAN yang mengambil bahagian secara aktif dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan BRICS.

Penglibatan dalam pelbagai perjanjian membolehkan Malaysia mempelbagaikan rakan dagangannya dan mengembangkan pasaran barangan dan perkhidmatan, katanya.

“Apabila anda mula menjalin kerjasama lebih erat dengan negara perdagangan lain, anda boleh menggalakkan mereka melabur bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau ASEAN.

"Justeru, ia adalah situasi menang-menang untuk semua bermakna anda tidak memerlukan hanya satu negara tertentu untuk berusaha, sebaliknya setiap negara anggota ASEAN boleh memanfaatkan hubungan mereka untuk membawa lebih banyak pelaburan ke rantau ini," katanya kepada Bernama .

Ahmed Razman berkata demikian ketika ditemui Bernama sebelum program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk perbincangan, "Kepimpinan ASEAN 2025: Malaysia untuk ASEAN",  semalam.

Beliau berkata: "Adalah penting untuk menekankan bahawa kerjasama yang lebih besar...tidak bermakna satu negara rugi jika negara lain menarik lebih banyak pelaburan. Matlamatnya adalah untuk kesan berganda untuk memanfaatkan seluruh rantau."

Menekankan potensi faedah diperoleh kelak, Ahmed Razman berkata Malaysia boleh menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dengan syarat negara mengekalkan kestabilan politik dan menyelaraskan dasar untuk memastikan pemindahan teknologi, mobiliti modal insan, dan kemudahan pembiayaan kepada negara anggota ASEAN.

“Pelabur mencari faktor seperti kemudahan menjalankan perniagaan, tahap rasuah yang rendah dan kestabilan politik. Objektif ini mesti diusahakan oleh setiap negara anggota ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan