EKONOMI > BERITA

MINYAK SAWIT MALAYSIA PERTINGKATKAN INDUSTRI MINYAK MAKAN PAKISTAN - JOHARI GHANI

11/01/2025 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Minyak sawit Malaysia dan produknya mempunyai potensi besar untuk mempertingkatkan sektor minyak makan dan pembuatan makanan di Pakistan, serta mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata sektor makanan di Pakistan mengalami pertumbuhan yang luar biasa, pada masa ini ia bernilai US$115 bilion (US$1 = RM4.50) dan diunjurkan berkembang pada kadar 7.5 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Perkembangan ini menyerlahkan peluang minyak sawit Malaysia dan lemak khusus berasaskan sawit untuk menjadi bahan penting dalam memacu inovasi dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi penggunaan termaju dalam sektor yang berkembang pesat ini,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Minyak Makan Pakistan Ketujuh di Karachi hari ini.

Johari berkata Pakistan menggunakan lebih lima juta tan minyak dan lemak setiap tahun, dengan minyak sawit menjadi komponen utama dalam pembuatan makanan, serta dalam industri penjagaan diri dan oleokimia.

“Kekuatan Malaysia dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) menempatkan kami sebagai rakan kongsi utama untuk Pakistan dengan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan untuk penggunaan lanjutan dalam industri perkhidmatan makanan.

"Kepakaran kami dalam membangunkan formulasi tersuai membolehkan pengeluar meningkatkan kualiti produk dan memenuhi permintaan unik pasaran Pakistan yang semakin berkembang dengan berkesan," katanya.

Johari turut menekankan perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara dengan menyatakan Pakistan mengimport 798,000 tan minyak sawit Malaysia.

Selain sektor makanan, beliau berkata terdapat potensi besar untuk mengembangkan penggunaan oleokimia berasaskan sawit dalam industri penjagaan diri dan isi rumah di Pakistan.

“Kemajuan Malaysia dalam teknologi oleokimia dan amalan mampan menawarkan peluang terbaik untuk memperkenalkan bahan mentah premium bagi produk-produk seperti sabun, kosmetik dan barangan isi rumah, menyumbang kepada kepelbagaian dan keupayaan pembuatan Pakistan.

"Bagi memanfaatkan potensi ini lagi, saya menggalakkan industri di Pakistan untuk menumpukan kepada memperluaskan import produk siap dan berbungus berasaskan sawit di samping perdagangan pukal," katanya.

Dengan memanfaatkan kemajuan Malaysia dalam R&D dan teknologi, menteri itu berkata pengeluar di Pakistan boleh memanfaatkan nilai tambah yang lebih besar, meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan daya saing mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Dengan membina hubungan kerjasama yang sudah kukuh antara kedua-dua negara, pendekatan ini akan membolehkan kita memajukan lagi perkongsian sedia ada dan mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan dalam sektor minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, Johari memuji usaha sama antara Malaysia dan Pakistan, khususnya kemudahan penapisan dan penyimpanan di Pelabuhan Qasim yang disifatkannya sebagai bukti perkongsian kukuh antara kedua-dua negara.

“Kehadiran jangka panjang Malaysia dalam industri minyak dan lemak Pakistan memberikan kami platform yang hebat untuk meneroka peluang-peluang baharu dan memajukan lagi matlamat bersama,” tambahnya.

Johari juga menyentuh semakan yang berterusan mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA), yang bertujuan membuka lebih banyak peluang perdagangan antara kedua-dua negara.

“Semakan ini akan memastikan kedua-dua negara mendapat manfaat sepenuhnya daripada perkongsian ekonomi yang semakin meningkat,” katanya.

--BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan