EKONOMI > BERITA

SELGATE, MTT PROPERTIES AKAN BINA HOSPITAL PAKAR SWASTA PERTAMA DI BALIK PULAU

13/01/2025 08:44 PM

GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) -- Selgate Corp Sdn Bhd (Selgate Corp), melalui anak syarikat penjagaan kesihatannya, Selgate Healthcare Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MTT Properties and Development Sdn Bhd (MTT Properties) bagi membina sebuah hospital pakar swasta di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Corp, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang dijangka siap pada 2028 dan akan menambah kira-kira 172 katil serta menawarkan 31 kepakaran dalam operasi penjagaan kesihatannya.

Beliau berkata kos pembinaan hospital berkenaan berjumlah RM130 juta dan lokasi hospital tersebut akan menyediakan akses yang mudah untuk pesakit antarabangsa kerana lokasinya strategik iaitu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Selgate berhasrat untuk menjadi satu daripada pengendali penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia dan kami berusaha untuk menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti yang mampu milik serta mengisi kekosongan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

"Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang merupakan tambahan penting kepada visi kami untuk menubuhkan lapan hospital di seluruh negara menjelang 2030 dengan dua hospital yang pertama di Rawang dan Sepang (Selangor) yang dibuka pada 2023," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU bersama Pengerusi Kumpulan MTT Properties, Datuk Seri Kenny Ong Kean Lee di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen.

Nor Hisham berkata kerjasama ini menekankan komitmen bersama bagi menyediakan penjagaan kesihatan yang luar biasa sementara MTT Properties akan mengetuai pembangunan dan penyewaan kemudahan.

 Dalam pada itu, katanya Selgate Healthcare pula bersedia memainkan peranan sebagai pengendali hospital bagi memastikan ia menjadi mercu tanda penjagaan dan kecemerlangan.

Menurut beliau, projek ini semakin mengukuhkan komitmen Selgate untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan sambil menyumbang kepada status Pulau Pinang sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan.

"Waktu ini memberi makna istimewa kerana kita meraikan ulang tahun ke-10 Selgate tahun ini. Sedekad yang lepas, Selgate berkembang menjadi nama yang dipercayai dalam penjagaan kesihatan, dipandu oleh misi kami untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang penuh ihsan, boleh diakses dan inovatif," katanya.

Sementara itu, Ong berkata MTT Properties memperuntukkan 2.02 hektar tanahnya untuk usaha pertama mereka dalam penjagaan kesihatan di Botanica.CT.

Ong berkata bandar yang sedang berkembang di Balik Pulau kini tidak mempunyai hospital pakar swasta dan hanya memiliki Hospital Tentera Balik Pulau untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan tersebut.

"Hospital berkenaan bukan sahaja dapat menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti kepada bandar ini, tetapi juga akan memberikan perkhidmatan kepada Balik Pulau dan komuniti sekitarnya secara keseluruhan," katanya.

Menurut Ong Hospital Pakar Selgate Pulau Pinang juga akan melengkapkan kemudahan penjagaan warga emas, Eden@Botanica CT, sebuah resort kehidupan warga emas bersepadu pertama di Pulau Pinang.

"Eden@Botanica CT direka untuk menyediakan persekitaran menyeluruh dan menyokong warga emas selain menggabungkan ruang kediaman yang selesa dengan perkhidmatan penjagaan peribadi.

"Kerjasama dengan Selgate Healthcare menandakan satu pencapaian bersejarah ke arah menjadi sebuah bandar yang boleh berdiri sendiri," katanya.

MTT Properties adalah pemaju utama bandar Botanica.CT.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan