KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd kekal yakin bahawa sekatan baharu yang dicadangkan ke atas eksport cip kecerdasan buatan (AI) oleh Amerika Syarikat (AS) tidak akan menghalang kerjasamanya dengan Bridge Data Centres (BDC) atau pertumbuhan lebih luas bagi sektor infrastruktur digital Malaysia.
Sebagai tindak balas kepada laporan mengenai sekatan eksport cip AI yang dicadangkan oleh AS, Mah Sing menegaskan bahawa butiran mengenai langkah-langkah itu masih dalam kajian.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang baru-baru ini dipetik sebagai berkata 85 peratus negara berada dalam kategori Tahap 2, yang bukan paling terbuka dan juga bukan yang paling ketat.
“Kami tidak tahu jenis kategori dan negara berada dalam kategori yang mana,” Chang dilaporkan berkata.
Laporan itu mengatakan di bawah sekatan baharu, syarikat yang berpangkalan di AS boleh memohon kebenaran menyeluruh untuk membekalkan cip kepada kalangan pusat data di seluruh dunia, selagi tidak lebih daripada 25 peratus daripada jumlah kuasa pengkomputeran mereka berada di luar negara Tahap 1 dan tidak lebih daripada 7.0 peratus berada di mana-mana negara Tahap 2.
“Bagi menangani cabaran ini dan mendapatkan pengecualian daripada kuota yang dikenakan, syarikat di negara Tahap 2 seperti Malaysia berpeluang mendapatkan pelantikan pengguna akhir yang disahkan (VEU), dengan syarat mereka mematuhi piawaian AS tentang keselamatan, ketahanan siber dan hak asasi manusia.
“Pematuhan ini bukan sahaja memastikan akses tanpa gangguan kepada teknologi kritikal tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk peneraju teknologi global,” kata Mah Sing dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, pemaju berkenaan berkata ia akan terus memantau perkembangan untuk memastikan pematuhan penuh dan mengurangkan potensi risiko.
Rakan kongsi Mah Sing, BDC, dimiliki terutamanya oleh Bain Capital, firma yang berpangkalan di AS.
Kumpulan itu berkata kedua-dua pihak telah mewujudkan dua usaha sama untuk mengembangkan hab pusat data mereka di Mah Sing DCHub@Southville City kepada kapasiti kuasa 300 megawatt (MW).
Ia berkata fasa pertama dijadualkan untuk memulakan operasi pada 2026, dengan keseluruhan hab itu berpotensi menyokong kapasiti kuasa 500MW.
Selain itu, tanah seluas 17 hektar milik Mah Sing di perbandaran Meridin East di Johor Bahru secara strategiknya adalah untuk pembangunan di masa hadapan, yang mampu menyokong kapasiti kuasa tambahan 300MW.
“Sektor teknologi Malaysia secara konsisten menunjukkan daya tahan dan kepintaran.
“Melalui kerjasama kukuh dalam kalangan pemain industri, kami percaya Malaysia akan mengharungi cabaran ini dengan jayanya, memacu pertumbuhan mampan dan inovasi dalam ekonomi digital global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial