EKONOMI > BERITA

UNTUNG BERSIH BURSA MALAYSIA SUKU KEEMPAT DIJANGKA LEBIH RENDAH KERANA DATV

14/01/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku keempat yang berakhir 31 Dis, 2024 dijangka lebih rendah daripada suku ketiga 2024 disebabkan oleh purata nilai dagangan harian (DATV) lebih rendah untuk pasaran sekuriti, menurut AmInvestment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu berkata DATV (daripada transaksi dalam pasaran) pada suku keempat 2024 untuk ekuiti susut kepada RM2.6 bilion daripada RM3.6 bilion pada suku ketiga 2024.

“Kami menjangkakan pendapatan suku keempat 2024 sebanyak RM64 juta, turun 25.4 peratus suku ke suku yang disumbangkan terutamanya oleh perolehan dagangan pasaran sekuriti yang lebih rendah.

“Ini dijangka membawa keuntungan bersih teras 12 bulan 2024 kepada RM306 juta, meningkat 37 peratus tahun ke tahun,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Ia turut mengunjurkan perolehan operasi Bursa Malaysia untuk 12 bulan akan melonjak sebanyak 124.5 peratus kepada RM738 juta, disokong oleh peningkatan perolehan dagangan sekuriti dan derivatif.

Bursa Malaysia dijadualkan untuk mengeluarkan keputusan kewangannya bagi suku keempat 2024 pada 27 Jan, 2025.

AmInvestment Bank berkata semua sasaran petunjuk prestasi utama kewangan bagi tahun kewangan 2024 dijangka tercapai.

“Melangkah ke hadapan, kecairan domestik dan saluran tawaran awam permulaan (IPO) di pasaran sekuriti kekal kukuh. Bagaimanapun, cabaran terus dilihat pada aliran masuk dana asing berikutan kadar faedah tinggi di Amerika Syarikat (AS) yang menyokong pengukuhan dolar AS.”

"Selain itu, masih terdapat ketidakpastian mengenai kesan dasar perdagangan dan fiskal AS," kata bank itu yang mengekalkan saranan "pegang" terhadap Bursa Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM9.10 sesaham.

Mengenai pasaran derivatif Bursa Malaysia, AmInvestment Bank berkata, purata kontrak harian (ADC) suku tahunan yang diniagakan meningkat sebanyak 18.1 peratus suku ke suku kepada 107,000 kontrak pada suku keempat 2024.

Ia disumbangkan oleh peningkatan ADC yang didagangkan untuk niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dan sebahagiannya diimbangi oleh penurunan ADC untuk niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI).

"Dengan ketidaktentuan berterusan di pasaran, ADC yang diniagakan meningkat kepada 92,106 dalam tahun kewangan 2024 berbanding 72,896 dalam tahun kewangan 2023," katanya.

Menurut AmInvestment Bank, aliran keluar dana asing sebanyak RM7.8 bilion secara kumulatif dari pasaran sekuriti dicatatkan pada suku keempat 2024 berbanding aliran masuk sebanyak RM4.4 bilion pada suku ketiga 2024.

Bank itu berkata, 2024 menyaksikan aliran keluar dana asing dari pasaran sekuriti sebanyak RM4.2 bilion, pertambahan daripada aliran keluar sebanyak RM2.3 bilion pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan